Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Cadangan dikemukakan kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) agar peminjam yang liat membayar balik pinjaman mereka disenarai hitam, mengundang pelbagai reaksi.

Rata-rata orang mengkritik langkah itu yang disifatkan tidak adil kepada peminjam yang tidak mampu membayar semula hutang mereka.

Bagaimanapun dari tinjauan Malaysiakini tidak semua peminjam membantah tindakan tegas diambil terhadap mereka yang culas.

Bagi Nur Laila Rahmat, 28 beliau tidak kisah jika sekatan ke luar negara diperkenalkan semula terhadap peminjam yang “liat” sedangkan berkemampuan.

“Okey saja senarai hitamkan. Ada yang mampu melancong tapi PTPTN tak nak bayar. Lagi satu, majoriti pelajar sekarang handphone semua mahal. Tapi tu (pinjaman PTPTN) masih tak mampu bayar?” katanya yang masih membayar baki pinjaman secara konsisten.

Tambahnya, PTPTN memerlukan dana mencukupi untuk meneruskan pembiayaan kerana tidak semua orang mampu menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Nur Kamalia, 32 turut setuju tindakan lebih tegas diambil kepada peminjam yang tidak bertangungjawab, bukan sahaja larangan ke luar negara, malah menyiarkan nama mereka di akhbar.

“Ini akibatnya apabila peminjam hanya tahu meminjam tetapi ambil sikap sambil lewa untuk bayar hutang semula," ujarnya.

Tambahnya, keenganan peminjam untuk menjelaskan bayaran akan menyukarkan pelajar lain yang perlu bergantung kepada dana institusi itu.

“Untuk peminjam yang benar-benar daripada keluarga susah, ia akan memberi kesan yang ketara. 

"Kemungkinan besar terpaksa lupakan hasrat untuk sambung pengajian,” katanya.

Rabu lalu, timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, tabung itu mempertimbangkan cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.

Mastura juga menambah sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman.

Potong KWSP, naikkan gaji minimum

Sementara itu Muhammad Fadzlee Ayub, 29 berpendapat adalah lebih baik kaedah pembayaran pinjaman dibuat melalui pemotongan akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berbanding potongan gaji.

"Potongan KWSP adalah lebih sesuai daripada potongan gaji bulanan sebab kita tak tahu mungkin peminjam menanggung keluarga dan mungkin gaji tidak berapa tinggi,” katanya.

Fadzlee turut mencadangkan kerajaan mengkaji gaji yang diperolehi lepasan graduan yang selalunya tidak setimpal dengan perbelanjaan harian terutama di ibu kota.

“Isu PTPTN ni membuatkan pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) takut untuk sambung belajar di peringkat universiti kerana mereka bimbang tidak dapat menerima tawaran kerja dengan gaji yang membolehkan mereka bayar PTPTN,” katanya.

Farhana Fuad, 29, yang senada dengan Fadzlee berpendapat gaji minimum perlu dinaikkan berdasarkan kelayakan akademik bagi meringankan beban mereka.

“Dengan cara ini ia mungkin dapat membantu peminjam untuk membayar hutang PTPTN dengan lebih lancar,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan menaikkan gaji minimum di seluruh negara kepada RM1,100 sebulan berkuat kuasa Januari tahun ini.

Angka ini mewakili kenaikan RM50 daripada gaji minimum RM1,000 di Semenanjung dan peningkatan RM130 daripada gaji minimum RM920 di Malaysia Timur.

Bagaimanapun beberapa pihak menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum sehingga RM1,800 sebulan.

Lihat Komen
ADS