Malaysiakini
BERITA

Ketua bahagian mahu Zahid 'lepaskan' Umno

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Mei 2019, 6:05 pagi

Umno dilihat kembali 'panas' apabila ada pemimpinnya mengeluarkan kenyataan terbuka bagi menghalang Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti kembali menerajui parti itu.

Ketua Umno Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang berkata, akhir-akhir ini terdapat gerakan oleh penyokong Ahmad Zahid untuk membawa balik Anggota Parlimen Bagan Datuk itu menjalankan tugas sebagai presiden.

"Bunga-bunga ke arah itu juga telah dinyatakan oleh Ahmad Zahid sendiri di dalam rencana yang beliau keluarkan di akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.

"Tindakan Ahmad Zahid dan penyokong rapat beliau bukanlah sesuatu yang baik untuk Umno bangkit dan bergerak ke hadapan," kata Maulizan dalam kenyataan.

Ahmad Zahid yang memenangi jawatan presiden parti pada pemilihan Umno tahun lalu, menerima tekanan untuk bercuti selepas menghadapi 45 pertuduhan rasuah dan pecah amanah pada Oktober tahun yang sama.

Antara yang menggesa beliau bercuti bai memberi tumpuan terhadap kes tersebut ialah Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi dan dua anggota parlimen dari parti itu.

Tekanan itu bertambah kuat apabila sekumpulan wakil rakyat Umno Sabah mengumumkan keluar parti beramai-ramai pada 12 Dis.

Pada 18 Dis, Ahmad Zahid akhirnya akur dan mengumumkan keputusan untuk menyerahkan tugas-tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Menurutnya ketika itu, keputusan tersebut diambil bagi menyelamatkan Umno daripada masalah pemimpin dan wakil rakyatnya yang keluar parti.

“Ini tentunya sesuai dengan semangat dalam perlembagaan Umno sendiri bahawa jika presiden tidak mendapat ‘hidayah’, maka kaedah terbaik (adalah) berikan kepercayaan pada timbalan presiden untuk jalankan tugas presiden,” katanya.

Bukan kita tak sayang Zahid

Mengulas lanjut Maulizan berkata, kini telah ada tuduhan kononnya Umno sekarang tiada hala tuju.

"Perlu diingat bahawa antara sebab berlaku desakan untuk Ahmad Zahid bercuti adalah disebabkan oleh tiadanya halatuju jelas semasa beliau menjadi presiden Umno sehingga berlaku kes lompat parti oleh sebahagian anggota Parlimen dan ketua ketua bahagian.

"Malah Umno juga dijangka akan terus lemah jika beliau tidak berhenti atau bercuti pada ketika itu," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Maulizan mendakwa Umno dilihat mulai stabil dan telah mendapat kembali keyakinan masyarakat khususnya orang Melayu di bawah kepimpinan Mohamad.

Jelasnya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilihat lebih diyakini dan bersih di mata masyarakat.

Tambahnya lagi, memang benar Ahmad Zahid dipilih secara demokrasi tetapi apa yang berlaku selepas pemilihan tidak membolehkan beliau untuk terus menjadi pemimpin Umno yang berkesan.

"Bukan kita tak sayang Ahmad Zahid mahupun Najib (Razak) sebagai seorang yang banyak berjasa kepada Umno, tetapi kita lebih sayangkan parti kita yang perlu memenangi hati rakyat untuk menang kembali di masa akan datang.

"Kepada mereka ini, Umno sepatutnya harus terus diberi nafas baru dan Ahmad Zahid bukanlah orangnya.

"Kita doakan Ahmad Zahid mahupun Najib diberi peluang untuk mendapat keadilan yang sewajarnya di atas segala pertuduhan yang mereka hadapi.

"Lepaskanlah Umno ini kepada pemimpin yang ada dan tak perlulah lagi beracah-acah untuk kembali," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.