Paling Popular
Terkini

Dua anggota parlimen Umno secara terbuka meminta presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi mengambil cuti sementara menunggu proses perbicaraan di mahkamah berhubung 46 pertuduhan yang dihadapinya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Anggota Parlimen Arau, Shahidan Kassim dan Anggota Parlimen Jempol, Mohd Salim Mohd Sharif menggesa Zahid mengosongkan jawatan presiden Umno buat sementara waktu.

Desakan itu dibuat ketika sekumpulan anggota parlimen Umno dan pemimpinnya mengumumkan keputusan keluar parti sepanjang minggu ini.

Malah, Salim berkata pandangan sedemikian dikongsi di kalangan 70 peratus anggota parlimen Umno dan mereka mula menyampaikan mesej kepada Zahid untuk mengambil cuti dalam tempoh tiga minggu lalu.

"Zahid ini saya nampak dia hilang haluan, mungkin dari tekanan daripada tuduhan 45 kes itu, dalam keadaan yang tidak fokus. 

"Kita yakin kalau ada pimpinan yang boleh membantu, untuk teruskan atau beliau mengambil cuti demi survival BN dan juga parti sendiri," kata Salim yang juga Ketua Umno Bahagian Jempol.

Menurut Salim beliau percaya tindakan anggota parlimen dan ADUN dari Sabah keluar parti pada 12 Disember lalu berpotensi besar diikuti rakan-rakan mereka dari semenanjung kerana berasakan Zahid kini kehilangan arah.

Seramai 11 Anggota Parlimen Umno memutuskan keluar parti itu sejak pilihan raya umum ke-14, menyebabkan parti pembangkang terbesar itu kini hanya memiliki 43 anggota Parlimen.

Ini termasuk Anggota Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan bekas setiausaha agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad yang mengambil langkah sama hari ini.

"Kita memang syorkan supaya dia bercuti dan berehat untuk selesaikan halnya. 

"Kalau selesai dia kembalilah balik, ia tak ada isu supaya untuk letak jawatan dan sebagainya. Kalau dia rasa dia berjiwa besar untuk teruskan perjuangan, ini salah satunya," kata Salim.

Zahid belum jawab

Bagaimanapun, menurut Salim, Zahid masih belum memberikan respons dan jawapan kepada permintaan tersebut.

Sementara itu Salim berkata beliau faham bahawa Zahid mungkin memerlukan masa untuk membuat pertimbangan dan berharap bekas timbalan perdana menteri itu akan memberi jawapan menjelang akhir bulan ini.

"Jika dia tak buat, saya tak taulah apa berlaku selanjutnya, tapi pasti ada yang rasa gelisah, ada yang rasa bimbang, tidak stabil dan macam-macam perasaan.

"Mungkin rakan-rakan daripada MP, ketua bahagian akan suarakan hasrat untuk kebaikan parti. Mungkin," katanya.

Sementara itu Sahidan berkata Zahid perlu mengambil cuti berikutan tindakan keluar parti secara besar-besaran dalam parti itu.

Menurutnya, beberapa lagi anggota Parlimen Umno mungkin mengumumkan keputusan mereka untuk keluar parti itu hari ini.

Shahidan bagaimanapun berkata beliau tidak dapat berbuat apa-apa jika Zahid menolak untuk berbuat demikian kerana beliau hanya seorang  anggota parlimen dan ketua bahagian.

"Satu-satunya perkara yang boleh saya lakukan ialah tulis di Facebook," katanya merujuk kepada hantarannya untuk menggesa Zahid meletakkan jawatan.

Lihat Komen
ADS