Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Matrikulasi: Henti lihat dari sisi kaum semata - penganalisis

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik baru-baru ini membangkitkan isu syarat bahasa Mandarin dalam pekerjaan sebagai perbandingan dengan kuota kaum dalam program matrikulasi.

Katanya, kedua-dua isu itu tidak boleh dilihat secara terpisah kerana ia berkaitan dengan keadilan.

"Kalau kini kita nak ubahkan (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan bahawa peluang pekerjaan kepada bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin," katanya pada 16 Mei lalu.

Ia membangkitkan bantahan daripada sejumlah pihak, termasuk di kalangan pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) sendiri iaitu DAP.

Antara yang menyokongnya pula ialah Ketua Wanita Bersatu Rina Harun dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff.

Bagi penganalisis politik Wong Chin Huat, perdebatan hangat berkenaan isu itu menunjukkan kuatnya pembahagian politik mengikut kaum dan betapa perkara itu perlu diubah.

"Pertembungan (showdown) itu mungkin membuatkan kedua-dua pihak - Maszlee dan Bersatu di satu pihak, dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mengecamnya di satu pihak lain - lebih kuat di sisi komuniti masing-masing.

"Jika ia secara ironi mengukuhkan sokongan terhadap PH, ia juga menjadikan PH lebih menyerupai BN - satu gabungan sinikal yang terbina berdasarkan simbiosis (hubungan saling memerlukan) dan rasa curiga.

"Kini masanya kita benar-benar melihat bagaimana struktur pembahagian politik kita," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Cairkan perbezaan

Berbanding melihatnya melalui kanta perkauman semata-mata Wong yang merupakan felo kanan di Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development berkata PH patut menangani isu tersebut berdasarkan sosio-ekonomi.

"Kelas sosio-ekonomi menunjukkan ke mana bantuan kerajaan patut diutamakan. Tetapi apa yang kita lihat ialah generalisasi mudah dan tidak jujur bahawa satu kategori (masyarakat) kaya dan satu lagi miskin.

"Penting untuk memecahkan kuota bumiputera dan bukan bumiputera berdasarkan kelas sosial, untuk memastikan golongan yang paling memerlukan - B40 - di kalangan pihak yang paling berkuasa dalam politik - bumiputera - dijaga, agar rasa tidak puas hati terhadap perubahan boleh dikurangkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Wong berkata, kaedah penjelasan dan pengendalian itu akan membantu "mencairkan" pembahagian kaum di kalangan masyarakat.

Selain itu, katanya lagi, ia dapat mengelakkan PH daripada menjadi seperti BN di mana parti komponen saling mencurigai satu sama lain, justeru mendapatkan sokongan daripada kumpulan etnik berbeza pada masa sama kekal dalam gabungan demi politik.

Jujur tentang halangan

Berkenaan Maszlee pula, Wong menggesa beliau bersikap lebih jujur dalam soal halangan politik yang dihadapi PH dalam isu kuota matrikulasi, bukan merumitkannya dengan mengaitkannya dengan isu lain.

"Maszlee patut lebih bercakap tentang inisiatif kemakmuran bersama. Dia sepatutnya menjelaskan halangan politik yang dihadapi kerajaan secara jujur.

"Dengan mengaitkan isu kuota dengan satu lagi isu kompleks iaitu penguasaan Mandarin sebagai syarat pekerjaan, dia menggali 'lubang lebih besar' buat PH.

"Dan dengan secara generalisasi berkata golongan bukan bumiputera menghantar anak ke institusi pengajian tinggi swasta, dia melukai perasaan pelajar bukan bumiputera yang dinafikan tempat di universiti awam dan ibu bapa mereka terpaksa mencagarkan rumah untuk pendidikan anak mereka," katanya lagi.

Wong mengakui portfolio pendidikan antara "tanggungjawab politik paling sukar" kerana pendirian berbeza rakyat Malaysia berkenaan soal pendidikan.

"Maszlee cuba untuk menjadi seimbang, tetapi kecenderungannya untuk berbicara sehingga terlebih membuatkan dirinya dilanda kontroversi yang menutup pencapaiannya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS