Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Lim Kit Siang dan Hanif Omar sedang berunding untuk menyelesaikan saman fitnah yang difailkan pemimpin veteran DAP itu terhadap bekas ketua polis negara berkenaan.

Ia berhubung kenyataan Hanif bahawa Lim pernah mencadangkan pemisahan Semenanjung antara Melayu dan bukan Melayu selepas berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Penasihat Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Rayveni Asogan mengesahkan perkara itu ketika ditemui selepas pengurusan kes di kamar hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azimah Omar pagi ini.

"Mahkamah menetapkan 24 Jun untuk pengurusan kes bagi mengemaskini mengenai penyelesaian yang mungkin (saman).

"Tarikh pengurusan kes adalah untuk memaklum perkembangan terbaru kepada mahkamah jika pihak-pihak ini bersetuju untuk menyelesaikannya. Syarat-syarat rundingan masih terbuka.

"Jika tidak (dapat selesaikan), maka perkara itu akan dibicarakan," kata Rayveni kepada pemberita.

Penasihat Hanif, Janani Kumari mengesahkan perkara itu. 

Bagaimanapun Lim dan Hanif tidak hadir di mahkamah.

Pada 19 Oktober tahun lepas, Lim memfailkan saman sivil terhadap Hanif berhubung kenyataan bekas ketua polis negara itu, yang disifatkannya sebagai cerita bohong.

Tuduhan berkenaan merujuk artikel yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Melayu, Sinar Harian berjudul "Tun Hanif buat pendedahan DAP, PAS", yang diterbitkan pada 6 Sept tahun lepas.

Dalam artikel itu, Hanif dipetik sebagai berkata beliau terpaksa membuat keputusan memenjarakan Lim demi keharmonian negara semasa rusuhan kaum pada tahun 1969.

"DAP pula minta Malaya dibahagi kepada dua. Pantai Timur kepada Melayu dan Pantai Barat kepada Cina. Jadi jawapan saya macam mana? Saya masukkan Lim Kit Siang dalam penjara.

“Dua tahun dia dalam tu. Itu cara dia cara Hanif ambil tindakan semasa menjadi Ketua Polis Negara,” ujarnya.

Keesokan harinya, Lim menuntut Hanif membuktikan dakwaannya dalam tempoh 48 jam.

Menyifatkannya sebagai "cerita bohong yang paling hebat", pemimpin veteran DAP itu mendakwa ia merupakan sebahagian daripada agenda untuk menyerangnya dan parti itu.

Kata Lim, jika benar DAP pernah mencadangkan semenanjung dipisahkan mengikut kaum pada 1969, ia tidak akan menjadi rahsia untuk satu tempoh yang cukup lama.

"Jika saya atau DAP mencadangkan pemisahan itu, ia tidak akan menjadi rahsia untuk separuh abad, kerana ia pastinya akan digunakan untuk menyerang saya dan DAP.

"Bolehkah Hanif menjelaskan mengapa cadangan itu tidak diketahui pemimpin DAP, saya sendiri tidak pernah mendengarnya, dan mengapa ia menjadi rahsia begitu lama?" soalnya.

Pada 20 Disember tahun lepas, Hanif memfailkan tuntutan balas terhadap Lim dengan mendakwa pemimpin DAP itu telah memfitnahnya di media sosial dan kenyataan yang dimuat naik di laman web pada September tahun lepas.

Beliau juga mendakwa kenyataan Lim membayangkan beliau telah mempromosikan cerita "bohong" mengenai penangkapan Lim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang tidak berfungsi sekarang, dan bahawa bekas IGP itu adalah lelaki tua yang nyanyuk, pembohong, orang yang tidak mempunyai kredibiliti dan memanipulasi fakta sejarah, antara lain.

Lihat Komen
ADS