Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menegaskan provokasi bukan cara terbaik untuk menangani isu karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad S.A.W.
Sehubungan dengan itu beliau mengarahkan lamanweb Jabatan Mufti Perak mengeluarkan serta merta hari ini satu jawapan yang berunsur provokatif dalam undian pendapat umum laman web tersebut.
Beliau yang tidak dimaklumkan lebih awal mengenai soalan undian pendapat itu berasa terkejut dengan salah satu jawapan yang berbunyi "bunuh atau buru mereka yang menghina Islam dan Nabi Muhammad...".
Beliau berkata, jawapan itu tidak sesuai sama sekali.
"Salah satu jawapan dalam undian itu agak keras, tidak sesuai dalam isu ini. Jika jawapan itu dilaksanakan, dunia akan menjadi huru hara dan mungkin umat Islam menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Lamanweb Jabatan Mufti Perak telah menyiarkan satu undian pendapat umum mengenai tindakan yang perlu diambil ke atas orang yang menghina Islam atau Nabi Muhammad S.A.W
Di antara jawapan yang disediakan ialah " bunuh atau buru dan perangi mereka..." Jawapan ini dianggap sebagai satu provokasi oleh sesetengah pihak.
Jawapan lain yang disediakan ialah:
- Bawa mereka menghadiri sesi kaunseling.
- Boikot dan putuskan hubungan diplomatik dengan mereka.
- Boikot dan putuskan hubungan diplomatik hingga mereka meminta maaf secara terbuka.
- Biarkan sahaja mereka dengan dunia mereka, kita dengan dunia kita.
- Tidak tahu apa patut dibuat.
Menyentuh lebih lanjut tentang tindakan umat Islam terhadap sikap biadap media Barat mempersendakan Islam dan Nabi Muhammad, Mufti itu berkata, melakukan provokasi, mengadakan tunjuk perasaan dan rusuhan tidak memberi sebarang faedah kepada umat Islam.
Malahan katanya, ia memberi peluang kepada musuh Islam untuk melakukan provokasi dan seterusnya dijadikan alasan untuk memusnahkan umat Islam.
"Lihatlah apa yang berlaku di beberapa negara Islam yang mengadakan tunjuk perasaan, umat Islam yang terbunuh bukannya musuh Islam," katanya.
Harussani berkata, cara terbaik dalam menangani isu ini ialah memboikot barangan keluaran negara terbabit seperti yang dibuat oleh negara-negara Arab.
Katanya, jika umat Islam menggembleng usaha ini sudah tentu ia memberi kesan yang sangat besar kepada negara berkenaan seperti Denmark dan beberapa negara lain.
Sementara itu pengedali laman web berkenaan, Radzuan Abdul Rani pula memberitahu malaysiakini, jawapan-jawapan yang tertera dalam undian pendapat umum itu bukannya pendirian jabatan berkenaan sebalik hanya sekadar satu kaji selidik umum.
" Kita menyediakan pelbagai jawapan untuk menilai reaksi masyarakat khususnya umat Islam. Kita tahu ada anggota masyarakat yang pasif, aggresif dan pro-aktif."
"Dari sini kita dapat menilai apa reaksi dan pendapat mereka. Ia tidak bertujuan untuk memprovokasi sesiapapun." jelasnya.
Beliau yang mengakui telah ditegur oleh Harussani berhubung perkara itu berkata, jawapan yang dianggap provikatif itu akan dikeluarkan segera dari senarai jawpan pilihan pendapat umum tersebut.
