Pungutan pendapat umum di laman web Jabatan Mufti Perak berhubung isu karikatur menghina Nabi Muhammad dikritik kerana menyediakan jawapan yang provokatif.

Laman web rasmi Jabatan Agama Negeri Perak itu di dalam pungutan pendapatnya telah bertanya pada mereka yang melayari laman tersebut apakah tindakan paling wajar diambil terhadap mereka yang mempersendakan Nabi Muhammad.

Seorang pembaca malaysiakini telah menyatakan rasa kurang senangnya terhadap salah satu daripada enam jawapan pilihan yang disediakan oleh kaji selidik itu. Jawapan berkenaan berbunyi: "Buru dan bunuh atau perangi mereka ".

Pembaca yang tidak mahu dikenali itu berkata, jawapan tersebut berunsur provokatif dan merbahaya.

Jawapan lain yang disediakan ialah:

. Bawa mereka menghadiri sesi kaunselingnd.

. Boikot dan putuskan hubungan diplomatik dengan mereka.

. Boikot dan putuskan hubungan diplomatik hingga mereka meminta aaf secara terbuka.

. Biarkan sahaja mereka dengan dunia mereka, kita dengan dunia kita.

. Tidak tahu apa patut dibuat.

Bagaimanapun daripada 69 orang yang menjawab soalan-soalan berkenaan, 39 atau 57 peratus memilih " biarkan sahaja mereka dengan dunia mereka...."

Hanya 10 individu atau 14 peratus mahu mereka yang mempersendakan Nabi Muhamad "diburu, dibunuh atau diperangi..."

Jabatan agama negeri Perak diketuai oleh Mufti Harussani Zakaria yang terkenal dengan pendirian mengenai Islam yang kontroversi. Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Mufti Kebangasaan.

Menurut statistik yang disediakan oleh laman web itu, seramai 32,205 pengunjung telah melayari laman web itu sejak 1 Mac tahun lalu.

Karikatur menghina Nabi Muhammad itu pertama kali disiarkan oleh sebuah akhbar Denmark pada September tahun lalu dan telah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh duinia.