Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Datuk Bandar Iskandar Puteri didakwa sabotaj peniaga tempatan
Diterbitkan:  May 26, 2019 12:41 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Ramai usahawan tempatan kecewa selepas gagal untuk mendapatkan lesen perniagaan bazar Ramadan di Gelang Patah Johor.

Beberapa Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengadakan sidang akhbar hari ini mendakwa Datuk Bandar Iskandar Puteri Adib Azhari Daud telah mensabotaj peniaga tempatan kerana gagal mengeluarkan lesen kepada mereka sebagaimana yang dipersetujui pada mesyuarat jawatankuasa pelesenan bulan lalu.

"Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Bil 4/2019 iaitu pada 18 April 2019 yang dipengerusikan sendiri oleh Datuk Bandar MBIP telah bersetuju untuk memberikan kelulusan terhadap 100 petak berniaga bazar Ramadan di kawasan parkir kereta Jalan Nusaria 4/7 Taman Nusantara, Gelang Patah.

"Kawasan ini diberikan sebagai ganti kepada cadangan penganjuran bazar Ramadan di Jalan J/1 Taman Nusantara akibat daripada lokasinya yang mendapat bantahan daripada peniaga kedai berhampiran yang dikatakan menganggu waktu perniagaan sedia ada. 

"Persetujuan dalam mesyuarat ini kemudiannya disahkan pada 28 April 2019," kata ahli majlis tempatan, Mohd Azam Mektar.

Menurutnya, selepas perbincangan lanjut, datuk bandar bersetuju mengeluarkan 30 lesen kepada peniaga walaupun mesyuarat awal memutuskan untuk memberi 100 lesen.

Bagaimanapun, katanya lagi, jawatankuasa pelesenan MBIP hanya memaklumkan kepada penganjur tapak bazar Ramadan sehari sebelum bulan puasa bahawa cuma 30 lesen sahaja yang diluluskan.

Datuk bandar dolak-dalik

"Penganjur Bazar Ramadan berkenaan iaitu Persatuan Peniaga Iskandar Puteri bagaimanapun hanya dimaklumkan secara rasmi mengenai kelulusan tersebut pada 5 Mei 2019 iaitu sehari sebelum umat Islam berpuasa. 

"Tindakan melewat-lewatkan pemakluman keputusan tersebut telah mengakibatkan kesukaran kepada para peniaga membuat persediaan berniaga dan hilang kepercayaan terhadap Ahli Majlis MBIP," ujarnya.

Jelasnya, majlis bandaraya itu menerima laporan daripada orang ramai bahawa terdapat juga bazar Ramadan yang beroperasi tanpa lesen di Jalan J/1 Taman Nusantara.

Mohd Azam berkata sikap berdolak-dalik datuk bandar mengenai perkara itu walaupun selepas mesyuarat awal memutuskan sebaliknya dapat ditanggapi sebagai penyalahgunaan kuasa dan merupakan suatu sabotaj terhadap ahli majlis tempatan serta kerajaan negeri di bawah PH.

"Tindakan Datuk Bandar MBIP yang berdolak dalik dan mengubah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dianggap sebagai salahguna kuasa dan sabotaj terhadap Ahli majlis dan serta kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan secara keseluruhnya.

"Malah tindakan Datuk Bandar MBIP juga dilihat mengkhianati hak peniaga Melayu di kawasan Gelang Patah untuk mencari pendapatan tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," jelasnya lagi.

Selain Azam, ahli-ahli MBIP yang turut hadir sidang akhbar hari ini iaitu Hafizee Adha Norzamri, Choong Thong Yuen dan Ng SIam Luang menggesa datuk bandar untuk tampil membuat penjelasan.

Sementara itu, pejabat Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon dalam suatu kenyataan berkata sedang meneliti laporan daripada MBIP.

"Berkaitan peristiwa ini, pihak kami akan mendapat laporan daripada Majlis Perbandaran Iskandar Puteri.

"Segala komen akan disampaikan selepas laporan tersebut diteliti," kata kenyataan itu.

Malaysiakini sedang menghubungi Adib Azhari bagi mendapatkan ulasan beliau.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS