Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penarikan diri peguam tak jejas status Dr Shahrom sebagai saksi'
Diterbitkan:  May 28, 2019 6:42 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Penarikan diri Syazlin Mansor sebagai peguam kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues menentukan punca kematian anggota bomba itu tidak menjejaskan status saksi pakar Prof Dr Shahrom Abd Wahid, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Jelas Thomas, Pejabat Peguam Negara (AGC) bersedia untuk sepina  Dr Shahrom sebagai saksi.

"Shahrom adalah saksi pakar yang membantu koroner dalam inkues ini. Peranannya di dalam inkues tidak terjejas dengan penarikan diri Syazlin sebagai peguam.

"Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin juga telah memaklumkan koroner bahawa jabatan ini bersedia untuk membantu koroner dengan mengeluarkan sepina kepada Dr Shahrom.

"Kami akan berbuat demikian," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Syazlin mengumumkan menarik diri sebagai peguam keluarga Muhammad Adib, selain sebagai peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bomba.

Dr Shahrom sebelum ini memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dipukul pada 27 November lalu semasa rusuhan di kuil Seafield.

Keterangannya itu bertentangan dengan kenyataan dua pakar lain, yang memberitahu mahkamah bahawa Adib terjatuh dari kenderaan tersebut dan kecederaannya adalah akibat terkena rempuhan dalam usaha cuba melarikan diri.

Muhammad Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 17 Disember lalu susulan kecederaan yang dialaminya.

Sementara itu, Thomas menambah bahawa, Pejabat Peguam Negara hanya mahukan Syazlin menarik diri sebagai peguam KPKT dan Jabatan bomba dan tidak ada masalah jika peguam itu mahu terus mewakili keluarga Muhammad Adib.

"Timbalan Pendakwa Raya Faten telah meminta Syazlin untuk terus mewakili keluarga Allahyarham Adib supaya prosiding inkues boleh diteruskan dan Shahrom boleh dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut.

"Namun Syazlin tetap dengan keputusannya untuk menarik diri," katanya.

Thomas dalam kenyataan itu juga menjelaskan sebab arahan kepada Syazlin untuk menarik diri diberikan.

Lihat Komen
ADS