Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Rakyat berpendapatan rendah tidak mengharapkan “duit percuma” daripada kerajaan sekiranya keadaan ekonomi mereka tidak begitu mendesak, kata penganalisis ekonomi Prof Bajoyai Bardai.

Barjoyai berkata, andaian bahawa golongan berkenaan sentiasa mengharapkan duit percuma daripada kerajaan adalah tidak adil kerana mereka juga mempunyai maruah diri.

"Pada satu tahap apabila mereka merasa sangat resah dan hampir berputus asa, bagi apa sahaja mereka akan ambil.

“Ini macam orang yang lemas dalam sungai tak tahu berenang. Jadi apa saja yang tercapai di sungai itu dia akan capai supaya dia selamat dan tidak lemas.

“Kalau sekiranya mereka masih boleh cari pendapatan lain, mereka akan mengelakkan untuk dapat duit percuma sebab mereka pun ada rasa harga diri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kelmarin yang mengatakan kerajaan Pakatan Harapan tidak begitu disukai sesetengah rakyat kerana tidak meneruskan amalan pentadbiran BN yang memberi "duit percuma”.

Menurut Mahathir, ini kerana PH perlu menanggung beban hutang yang menyebabkan kerajaan yang berusia setahun itu tidak mampu berbuat demikian. 

Tanggungjawab kerajaan jaga rakyat

Sebaliknya Barjoyai berkata, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah mengkaji secara terperinci kedudukan golongan B40, bukannya mempertikai pemberian duit percuma.

Beliau menjelaskan, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan setiap warga Malaysia mempunyai sumber pendapatan yang cukup untuk menjalani kehidupan yang selesa.

“Bagi saya, mereka bukan B40 tapi B60 sebab ada 60 peratus penduduk Malaysia yang sebenarnya berpendapatan kurang daripada kos sara hidup,” katanya.

B40 merupakan istilah kepada kumpulan isi rumah berpendapatan terendah 40 peratus, iaitu bergantung kepada peratusan populasi negara.

“Dalam suasana ekonomi sekarang ini, mereka sangat putus asa, tak tahu apa lagi sumber yang boleh mereka dapat. Mungkin dah sampai ke peringkat mencuri, ambil apa saja asalkan boleh makan misalnya," katanya.

Kerajaan tak tunai janji pulih ekonomi

Kenyataan Barjoyai itu turut disokong penganalisis politik Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya yang menyifatkan rakyat tidak terlalu terdesak mahukan duit percuma.

Katanya, mereka mahukan ekonomi dipulihkan bagi menjana pendapatan rakyat, seperti yang dijanjikan kerajaan.

“Bukan rakyat mahu duit percuma, cuma rakyat mahu misalnya tol dapat dihapuskan sebagaimana janji PH, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dapat ditangani dengan lebih bijaksana.

“Namun, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan walaupun GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dihapuskan, tidak sama seperti dijanjikan oleh PH yang mengatakan dapat menurunkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Maka, ini amatlah membebankan hidup rakyat bawahan, selain masyarakat pertengahan turut terasa bahangnya,” katanya.

Beliau berkata, pemberian wang tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) turut dilaksanakan negara maju seperti Singapura dan Belanda.

“Malah Finland memberikan gaji minima kepada penganggur untuk tempoh tertentu sebelum dapat berdikari.

“Negara Jepun sendiri pula terkenal dengan dasar negara kebajikan yang memfokuskan kewangan, perubatan dan insuran rakyat,” katanya.

Namun, katanya bantuan seperti itu tidak semestinya diberi dalam bentuk wang tunai tetapi boleh diberikan dalam bentuk subsidi harga barangan dan perkhidmatan.

“Dengan kata lain, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan nasib rakyatnya terbela.

“Tidak ada kerajaan di dunia yang dapat menghapuskan pemberian duit percuma ini,” katanya.

Semalam, kerajaan dilaporkan akan memberikan insentif raya sebanyak RM300 kepada peneroka Felda tahun ini, berikutan mengmabil kira maslaah kewangan yang dihadapi peneroka.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali memberi gambaran tidak akan memberikan insentif duit raya kepada mereka tahun ini kerana kerajaan lebih menumpukan proses pemulihan Felda. 

Lihat Komen
ADS