Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang mahu siasatan juga ke atas Rahman Dahlan, dua lagi
Diterbitkan:  Jun 4, 2019 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Mengalu-alukan pengesahan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador bahawa laporan yang difailkan terhadap bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali akan disiasat, Lim Kit Siang berkata, siasatan juga harus diperluaskan kepada tiga individu lain.

Mendahului senarai baru itu ialah Abdul Rahman Dahlan, yang menurut pemimpin veteran DAP itu sebagai "raja komunikasi" bekas perdana menteri Najib Razak.

Mereka yang lain adalah bekas ketua setiausaha negara Ali Hamsa dan bekas ketua pengarah jabatan perkhidmatan awam Mohamad Zabidi Zainal.

"Adakah terdapat cubaan rampasan kuasa terhadap Najib membabitkan pendakwaan terhadapnya untuk kesalahan rasuah pada minggu terakhir Julai 2015 yang sebelum ini telah digagalkan susulan pemecatan peguam negara ketika itu Abdul Gani Patail?

 

"Sudah tiba masanya segala perhatian difokuskan pada misteri itu yang adalah satu penghinaan terhadap demokrasi Malaysia selama enam dekad.

"Rakyat Malaysia kini berada dalam demokrasi berparlimen dan dalam era maklumat, dan mereka berhak untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam operasi ‘cloak-and-dagger’ sepanjang tempoh 'Week of Long Knives' pada bulan Julai / Ogos 2015 di Putrajaya," kata Lim dalam satu kenyataan media petang ini.

Pemimpin DAP itu juga mengimbas semula kemunculan sebuah laman web baru pada hari yang sama Gani dipecat yang mendakwa bahawa pegawai kerajaan tertinggi, terutama yang menganggotai pasukan petugas khas menyiasat skandal 1MDB dan dana berbilion-bilion ringgit yang berada di dalam akaun Najib, terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

"Adakah episod ini disiasat oleh polis dan apakah hasilnya?

"Polis juga perlu menyiasat mengapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkan siasatannya berhubung skandal 1MDB, sedangkan ia menjadi subjek siasatan oleh sekurang-kurangnya 10 negara lain," katanya.

Lim juga berkata bahawa seorang bekas peguam negara, Abu Talib Othman pernah berkata pada bulan Ogos 2015 bahawa Ali Hamsa dan Zabidi mungkin melanggar undang-undang dengan memindahkan dua pegawai SPRM berkenaan dari suruhanjaya tersebut.

"Abu Talib berkata Ali dan Zabidi mungkin melanggar Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka, dan walaupun pemindahan pegawai SPRM kemudiannya dibatalkan, kesalahan tetap telah dilakukan.

"Atas sebab ini siasatan polis berhubung 'Week of Long Knives' pada bulan Julai / Ogos 2015 sepatutnya membabitkan peranan Rahman Dahlan, Ali Hamsa dan Zabidi sama ada mereka melanggar undang-undang.

"Adakah polis menjumpai sebarang plot jenayah untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih dengan keganasan atau tidak mengikut perlembagaan?" soalnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS