Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
16 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu di karnival India Midvalley

Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi yang diadakan pada 7 Jun lepas, di Karnival Global Indian Festival yang berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.

Menurut sumber Jabatan Imigresen Malaysia, Operasi Bersepadu (Ops Belanja/Kutip) diadakan pada Jumaat lepas di karnival di Midvalley ekoran laporan polis pada 4 Jun yang mendakwa mendakwa peniaga karnival menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Laporan polis oleh Setiausaha Pertubuhan Peniaga-Peniaga Tekstil dan Barang-Barang Am India Malaysia (MITA) R Maheswary menuduh bahawa para peniaga menggunakan PATI sebagai pekerja.

"Seramai 90 individu diperiksa dalam karnival tersebut dan daripada jumlah tersebut sebanyak 16 PATI ditahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

"Daripada 16 PATI, 12 adalah warga negara India, tiga Pakistan dan seorang warga Bangladesh," kata sumber itu kepada Malaysiakini yang tidak mahu namanya didedahkan.

Tambah sumber itu lagi, kebanyakan peniaga tidak dapat ditahan kerana berjaya lari selepas mengetahui operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen.

"Kebanyakan lari masuk ke surau dan tempat-tempat lain di pusat membeli belah itu. Kalau tidak, jumlah (yang ditahan) mungkin lebih banyak lagi," jelasnya.

Tinjauan Malaysiakini pada pagi ini di karnival tersebut mendapati kebanyakan reruai perniagaan ditutup selepas serbuan berkenaan.

Daripada tiga dewan di pusat pameran tersebut, dua daripadanya ditutup selepas operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Hanya Dewan 2 (Hall 2) dibuka dengan kebanyakan peniaga yang berniaga merupakan peniaga tempatan dan juga peniaga warga asing yang mempunyai lesen perniagaan.

Untuk rekod, pada 7 Jun, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang memberikan kebenaran kepada peniaga asing untuk berniaga semasa karnival jualan dalam negara yang dilihat menjejaskan peniaga tempatan.

Presidennya, N Gobalakrishnan berkata tindakan agens-agensi kerajaan membenarkan peniaga-peniaga asing itu berniaga secara one-off di karnival-karnival di seluruh negara mengakibatkan kerajaan kehilangan ratusan juta setiap tahun.

"Bagaimana kerajaan boleh halalkan peniaga yang berniaga secara haram tanpa mempunyai lesen perniagaan dan juga menggunakan perkhidmatan pekerja asing tanpa izin?" soalnya lagi.

Karnival anjuran Agenda Suria Communication Sdn Bhd itu dan karnival lain akan diadakan di seluruh negara menjelang Deepavali sejak tahun 2003.

Malaysiakini sedang menghubungi Agenda Suria Communication bagi mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS