Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengkritik pembelian 16 buah kereta Toyota Camry oleh kerajaan Perak yang didakwanya satu langkah yang mengabaikan industri kereta nasional.
"PSM tidak nampak kerelevanan dan kelogikan kerajaan negeri membeli 16 kereta import dengan kos pembelian RM 1.74 juta, sedangkan pembinaan dan pengeluaran kereta nasional bertapak di Tanjung Malim di Perak.
"Mengapa tidak membeli kereta nasional sendiri? Adakah kereta nasional pengeluaran sendiri tidak selamat untuk digunakan dan menggalakkan rakyat sendiri untuk membeli kereta import dari luar negara?" soal Timbalan Pengerusi PSM M Sarasvathy dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga menyifatkan langkah itu sebagai satu pembaziran dan tidak selari dengan dasar penjimatan kerajaan persekutuan, yang dapat dilihat menerusi rundingan semula dan penangguhan beberapa projek negara.
Kerajaan Perak membeli kereta tersebut pada harga RM109,000 sebuah iaitu kira-kira RM90,000 lebih murah daripada harga runcit biasa.
Sebagai perbandingan, Proton Perdana (2.4 L) - yang biasanya dijadikan kereta rasmi kerajaan - berharga kira-kira RM126,000. Bagaimanapun ia belum mengambil kira potongan harga selepas pembelian dengan jumlah yang besar seperti yang dibuat kerajaan Perak.
Semalam, exco kerajaan Perak Asmuni Awi berkata pembelian itu dibuat memandangkan kereta rasmi sebelum ini sering rosak dan memakan kos selenggara yang tinggi.
Katanya lagi, Proton Perdana untuk exco yang dibeli ketika pentadbiran BN pada 2014 tidak lagi di bawah jaminan dan sering dihantar untuk dibaiki.
"Bukan cerewet tetapi sistem sangat teruk sehingga kami menghadapi situasi tidak selesa. Kereta yang dibeli ini lebih rendah harganya berbanding kereta jenis Mercedes Benz yang dibeli oleh kerajaan yang diterajui oleh pembangkang," katanya.
Sarasvathy mendakwa Toyota Camry sememangnya menjadi impian PH negeri itu dan kereta sama pernah dibeli pada 2008 (ketika itu Pakatan Rakyat).
Beliau turut mengingatkan kerajaan negeri agar tidak mewarisi budaya politik BN tetapi mengamalkan sikap bertanggungjawab dan telus dalam kewangan dan pentadbiran.
