Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Toyota baru untuk exco Perak jimat kos selenggara - Adun

Keputusan kerajaan Perak untuk membelanjakan RM1.74 juta bagi perolehan 16 kereta Toyota Camry baru dibuat berdasarkan jangkaan kos penyelenggaraan yang lebih rendah dan keselamatan yang lebih baik kepada ahli exco kerajaan negeri (exco).

Adun Pasir Pinji, Howard Lee, yang juga Exco Belia, Sukan danPembangunan Modal Insan Perak berkata langkah itu sejajar dengan dasar kerajaan negeri sedia ada yang membolehkan menukar kenderaan pada setiap lima tahun.

"Penggantian kenderaan rasmi dilakukan berdasarkan pengurusan keselamatan dan fiskal, seperti pengurangan kos penyelenggaraan.

"Saya fikir ia merupakan keputusan pengurusan yang sangat logik dan sangat mudah.

"[...] Tiada pelanggaran undang-undang dan tidak ada dasar yang tidak dipatuhi," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Lee berkata kereta lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu tidak lagi di bawah jaminan, selalu dihantar untuk dibaiki dan kos penyelenggaraan menjadi mahal.

Kerajaan negeri BN sebelum ini membeli kereta Proton Perdana untuk exco pada tahun 2014.

Terdahulu, China Press melaporkan kerajaan negeri telah membelanjakan RM109,000 bagi setiap model Toyota Camry - kira-kira RM90,000 kurang daripada harga runcit biasa.

Lee (gambar, atas) menjelaskan kerajaan telah membeli kenderaan tersebut secara langsung daripada Toyota dan perolehan tersebut mendapat pengecualian cukai.

"Kami membelinya secara besar-besaran dan terdapat diskaun untuk kerajaan," katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia A Sivanesan mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau telah menerima kereta barunya sebelum sambutan Hari Raya Aidilfiltri.

Seperti Lee, Sivanesan yang juga Adun Sungkai berkata pertukaran kenderaan diperlukan kerana ia membolehkan kerajaan negeri memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih baik.

"Kereta lama tidak berada dalam keadaan baik, selalu sangat rosak.

"Kos pembaikan itu satu perkara tetapi (masalahnya) temu janji kami terpaksa ditangguhkan dan kadangkala kami terpaksa sampai lambat kerana kereta buat hal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai kritikan pengguna media sosial supaya exco negeri perlu menggunakan dan menyokong kereta kebangsaan, Sivanesan berpendapat Toyota Camry sebagai pilihan yang boleh dipercayai.

"Kosnya ditambah sedikit, tidak banyak, tetapi berbaloi untuk (jumlah) perjalanan yang kami lakukan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS