Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RCI kehakiman akan ganggu perbicaraan kes penting di mahkamah - PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat salah laku kehakiman akan mengganggu kes-kes penting mahkamah.

Katanya, dakwaan salah laku yang terkandung dalam satu afidavit menggemparkan sebelum ini juga tidak menyebut mengenai nama-nama hakim tertentu.

"Tuduhan yang dibuat tidak menyebut mana-mana hakim yang tertentu.

"Ia membuat tuduhan secara umum. Jadi kalau secara umum, seluruh badan kehakiman itu akan dihadapkan ke RCI.

"Kalau kita buat demikian, perbicaraan yang penting yang sedang berlaku ini tidak dapat diteruskan dan ini akan menidakkan keadilan bagi semua pihak," katanya kepada pemberita di Melaka malam ini.

Mahathir ditanya sama ada kerajaan akan mempercepatkan pembentukan RCI yang beliau umumkan pada Februari berikutan afidavit difailkan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer.

Sebelum ini, Menteri Undang-Undang Liew Vui Keong berkata kelewatan itu disebabkan saman pemula yang difailkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah Yong Teck untuk mencabar keperlembagaan RCI.

Bagaimanapun, pegawai kanan kerajaan memberitahu Malaysiakini minggu lalu bahawa kerajaan merancang untuk membatalkan saman itu, yang telah digambarkan sebagai "remeh."

Rabu lepas, Dr Mahathir berkata kerajaan komited untuk menubuhkan RCI berkenaan kerana ia dikehendaki oleh orang ramai.

Beliau mengulas cadangan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram agar Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Man menubuhkan panel siasatan dalaman yang terdiri daripada lima ahli, termasuk tiga hakim bersara.

'Raja tak boleh masuk campur dalam politik'

Mengulas isu berbeza, Mahathir berkata tiada masalah untuk Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengundang pemimpin Umno dan PH untuk acara Hari Raya Aidilfitri secara berasingan.

"Jika dia nak jemput (mereka) untuk Hari Raya, tak mengapa.

"Tetapi saya tidak rasa dia nak jadi ahli politik kerana raja-raja tak boleh campur tangan dalam politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan sama ada undangan berasingan untuk kedua-dua pihak adalah positif untuk politik dwipartisan.

Sultan Ibrahim berkenan menerima kunjungan pemimpin Umno Johor sempena Hari Raya pada 8 Jun lalu dan ketua-ketua bahagian Bersatu Johor hari ini.

Manakala pimpinan PH yang terdiri daripada menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri berkunjung ke Istana Bukit Serene pada Hari Raya pertama Rabu lalu.

Lihat Komen
ADS