Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RCI kehakiman: K'jaan mahu ketepi saman bekas ketua menteri Sabah
Diterbitkan:  Jun 7, 2019 11:07 AM
Dikemaskini: 3:07 AM

Putrajaya dikatakan mahu memohon kepada mahkamah untuk mengenepikan saman pemula bekas ketua menteri Sabah Yong Teck Lee yang mencabar keperlembagaan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Sumber dalam kerajaan yang merupakan pegawai kanan berkata, dokumen berkaitan permohonan mengenepikan saman itu akan difailkan di mahkamah dalam masa terdekat.

"Saman Yong (yang difailkan di Sabah pada 29 April) mengarut.

"Apa lagi ada contoh kes berhubung penubuhan RCI dalam hal berkaitan kehakiman. RCI seumpamanya pernah ditubuhkan ketika era pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

"Berdasarkan contoh itu, kerajaan akan mengenepikan saman berkenaan," kata sumber kepada Malaysiakini.

Pada 2008, kerajaan menubuhkan RCI apabila peguam VK Lingam dikaitkan dalam sebuah klip video yang memaparkannya berbual dalam telefon dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Ahmad Fairuz Sheikh Halim dan menyentuh tentang pemilihan hakim pada 2001.

Rabu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram agar siasatan dalaman diadakan dan bukannya RCI.

Dr Mahathir berkata orang ramai mahukan RCI dan kerajaan terbuka dengan cadangan itu.

Gopal berkata RCI tidak sesuai kerana ia akan melanggar doktrin keperlembagaan dalam pemisahan kuasa.

Gopal mencadangkan agar Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Man menubuhkan panel siasatan dalaman yang terdiri daripada lima ahli, termasuk tiga hakim bersara.

Panel berkenaan, katanya, perlu diberi mandat untuk menyerahkan hasil siasatan kepada ketua hakim sahaja, yang kemudian boleh mengusulkan kepada perdana menteri untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengambil tindakan terhadap hakim yang didapati bersalah melalui tribunal.

'Tak perlu takut jika tak ada yang disembunyi'

Mengulas perkara itu, sumber kerajaan bersetuju dengan perdana menteri dengan menyifatkan bahawa pihak yang tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan tak perlu takut dengan penubuhan RCI itu.

Sementara itu, peguam Arun Kasi juga tidak bersetuju dengan siasatan dalaman untuk menggantikan RCI.

"Akan ada terlalu banyak batas. Sebagai contoh, siasatan dalaman tidak didasarkan dalam perlembagaan. Ia tidak boleh melibatkan hakim bersara.

"Atas sebab itu, siasatan berkesan terhadap dakwaan berkaitan hanya boleh dilakukan melalui RCI," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, sumber berkenaan memberi gambaran kewujudan pihak yang cuba menghalang penubuhan RCI itu dan mengaitkan pihak berkenaan dengan saman Yong.

Bagaimanapun, Yong menafikan perkara itu dan mendakwa dia mengambil tindakan saman itu atas kapasitinya sendiri.

Pada 3 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menyifatkan saman pemula Yong sebagai penghalang kepada penubuhan RCI.

Jelasnya, kerajaan perlu menunggu keputusan saman itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Dr Mahathir mengumumkan berhubung RCI itu pada Feb lalu selepas hakim mahkamah rayuan Hamid Sultan Abu Backer memfailkan afidavit yang mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kehakiman.

Lihat Komen
ADS