Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AS bagi 12 drone percuma, Putrajaya patut waspada - Penganalisis

Putrajaya diingatkan supaya berwaspada dalam menerima 12 drone atau pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle melalui program yang sepenuhnya dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat tanpa melibatkan sebarang kos kerana dikhuatiri pemberi mempunyai niat tertentu.

Pensyarah Politik dan hubungan Antrabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur Prof Mustafa Ishak berkata ia kerana pemberian itu melibatkan data tinjauan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disempadan negara.

“Apa-apa yang didapati percuma belum tentu percuma, jadi kita harus lebih berhati-hati dalam menerima peralatan ketenteraan percuma dari pihak asing.

“Dalam zaman sekarang ni, dalam apa kita peroleh data, mereka juga (penyumbang) pun dibimbangi akan dapat data tersebut jadi itulah maknanya kita kompromikan keselamatan negara apabila segala maklumat keselamatan kita diperoleh orang lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mustafa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kementerian Pertahanan yang mengesahkan bahawa melalui program Maritime Security Initiative (MSI) kerajaan telah memperoleh pesawat bernilai RM80 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan AS.

Selain Malaysia, yang memperoleh 12 unit, beberapa negara lain yang berada di rantau Laut China Selatan turut terlibat program berkenaan, termasuk Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Tinjau, risik, pantau

Drone model UAV ScanEagle itu dihasilkan oleh anak syarikat Boeing, Insitu Inc.

Menurut laman The Defence Post, pesawat berkenaan mempunyai kebolehan untuk terbang selama 20 jam dan boleh digunakan untuk misi risikan, peninjauan dan pemantauan.

Bagaimanapun, bekas naib canselor UUM itu turut mengambil maklum pemberian drone itu kecil berbanding AS yang mempunyai teknologi yang lebih canggih seperti satelit untuk memantau mana-mana kawasan.

Namun demikian, beliau mempersoalkan bagaimana untuk memastikan supaya AS tidak meraih data yang sama melalui tinjauan yang dilakukan pihak ketenteraan negara.

“Sesuatu yang baik untuk kita dapat peralatan percuma untuk jaga keselamatan tapi dalam masa yang sama apakah kita yakin 100 peratus, apa juga maklumat yang diperoleh adakah tidak diketahui oleh pihak lain maksudnya pihak memberi kepada kita, itu persoalannya,” soalnya.

Bagaimanapun, bekas anggota Majlis profesor Negara (MPN) itu menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membuat penilaian sewajarnya.

“Jadi kalau perkara itu tak jadi masalah, tak apa lah kerana pihak tentera lebih mengetahui apa yang boleh kita gunakan dan apa yang kita tak boleh kompromi, jadi terserah kepada pihak tentera untuk buat penilaian,” katanya

Hubungan baik ketenteraan

Sementara itu, Pensyarah Pengajian Antarabangsa kolej undang-undang, kerajaan dan pengajian antarabangsa, UUM Sintok Prof Mohd Azizudin Mohd Sani pula melihat tiada sebarang masalah jika kerajaan menerima drone tersebut.

Azizudin juga melihat pemberian tersebut tidak membuatkan kerajaan tunduk kepada AS selaku kuasa besar.

“Drone ni kecil saja melainkan dia bagi kapal selam, jet pejuang percuma itu baru sesuatu dan saya rasa AS tak akan bagi teknologi canggih pada kita sebab kita boleh copy dari dia.

“AS juga akan bagi drone yang memang kita familiar dan kita tahu operate, kalau bagi yang canggih pun tak guna kalau kita tak tahu operate.

“Jadi saya tak bimbang sangat dengan pemberian ini, cuma sekadar hubungan baik dari segi ketenteraan antara Malaysia dan AS,” katanya.

Azizudin juga yakin kerajaan mempunyai pakar untuk melihat jika drone tersebut mempunyai fungsi yang meragukan seperti mendapatkan pengkalan data dari kerajaan.

“Kita tak syak ada fungsi meragukan dalam drone tu, dan jika ada, kita ada pakar yang bijak untuk lihat benda itu jika berlaku.

“Saya tak rasa AS akan letak benda itu sebab kita akan suspicious (sangsi) hubungan dengan dia,” katanya.

Lihat Komen
ADS