Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju bertemu dengan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai pelantikan utama awam, kata Anwar Ibrahim.

Menurut presiden PKR itu, kesediaan Mahathir dinyatakan selepas kedua-dua mereka bertemu semalam dan membincangkan mengenai pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

"Beliau ada (menjelaskan mengapa Latheefa dipilih), dan beliau memberitahu saya dia akan melakukannya (pelantikan jawatan utama agensi awam) dengan kepimpinan PH.

"Beliau juga bersedia bertemu PSC," kata Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR di Petaling Jaya petang tadi.

Turut hadir, pengerusi PSC mengenai pelantikan jawatan utama agensi awam) William Leong.

Sementara itu Leong memberitahu Malaysiakini, beliau menunggu pertemuan itu untuk menjelaskan beberapa "kekeliruan" yang mungkin berlaku berhubung jawatankuasa berkenaan.

William Leong

"Kami perlu bertemu beliau sebab apa yang difikirkannya adalah berkaitan kuasa [...] tetapi apa yang kami lakukan bukan mengambil kuasa beliau.

"Beliau ada kuasa untuk membuat pelantikan, kami melaksanakan kuasa pengawasan, justeru itulah perbezaannya.

"[...] saya fikir ramai orang juga tersilap tafsir apa yang dilakukan PSC," katanya selepas sidang media berkenaan.

Menurut anggota parlimen Selayang itu lagi ramai orang menganggap PSC mahu mengambil kuasa perdana menteri.

Oleh kerana itu, katanya, PSC mahu membetulkan salah faham berkenaan.

Setakat ini, kata Leong, belum ada tarikh ditetapkan untuk bertemu Mahathir namun jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat jam 10 pagi esok bagi membincangkan langkah selanjutnya yang akan diambil.

Sebelum ini Mahathir berkata, PSC terbabit tidak mempunyai kuasa untuk menyemak pelantikan dibuat kerajaan dan memerlukan pindaan perlembagaan bagi membolehkan keadaan itu diubah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS