Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

"Saya sangat sedih, suami mati, tiga anak mati," kata Som Ngai, 50, seorang ibu suku Bateq yang tinggal di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Dia kehilangan suami, Hamdan Keladi, dan tiga anak, Laila, Romi dan Din - semuanya berusia dalam lingkungan 20-an - dipercayai ekoran penyakit yang melanda perkampungan itu yang sehingga kini belum dikenal pasti punca sebenarnya.

Kata Som, kematian anggota keluarganya berlaku dalam masa kira-kira dua minggu.

Katanya, suami dan tiga anaknya mengalami kepanasan, sakit kepala, muntah dan hilang selera makan sebelum meninggal dunia.

"Seluruh badan melepuh dan kepanasan, sakit kepala, muntah teruk, tidak mampu makan selain badan kurus kering.

“Keadaan itu yang dialami suami aku. Dia bekas tok batin. Suami dan tiga anak saya meninggal dunia," katanya yang hadir menerima bantuan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pusat Operasi Felda Aring 10, Gua Musang, hari ini.

Som Nyai

Sejumlah 14 penduduk suku Bateq di situ dilaporkan meninggal dunia. Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kematian tersebut.

Semalam, kerajaan mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon merah dengan agensi kerajaan tertentu saja yang dibenarkan memasukinya.

Setakat ini hanya dua mangsa yang dibedah siasat dan 12 lagi disemadi secara adat. Polis telah menemui lapan mayat dalam operasi pencarian 12 mayat tersebut.

Mengulas lanjut, ibu kepada tujuh anak itu berkata dia langsung tidak menyangka akan kehilangan empat anggota keluarga dalam masa dua minggu.

Menurutnya, suaminya menjadi mangsa pertama dalam keluarga iaitu pada 5 Mei lalu, diikuti dua anaknya, Laila dan Romi, tiga hari kemudian (8 Mei).

"Tidak lama kemudian, seorang lagi anak saya iaitu Din meninggal dunia (pada 22 Mei)," katanya sambil berkata masih terbayang kesakitan yang dihadapi suami dan anak-anaknya itu.

"Saya kasihan tengok keadaan mereka, hanya terbaring dan tidak boleh makan atau minum disebabkan sakit tekak. Saya tak boleh tidur kerana bimbang penyakit misteri itu akan melanda anak-anak yang lain," katanya lagi.

Som memaklumkan seorang lagi anaknya kini sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang dan berharap dia akan segera sembuh.

Terkilan tak sempat jumpa

Seorang lagi anak Som, Lan, 20, menyuarakan kesedihan kerana tidak dapat berjumpa dengan bapa dan adik-beradiknya.

Lan Hamdan

Katanya, dia keluar ke hutan sejak sebulan sebelum penyakit melanda kampung mereka, sebelum diberitahu orang kampung tentang keadaan anggota keluarganya itu.

"Saya balik saja mereka sudah meninggal dunia," katanya yang bekerja sebagai pencari madu lebah.

Dia berharap musibah yang melanda kampungnya itu tidak berlarutan dan punca penyakit dapat dikenal pasti.

Lihat Komen
ADS