Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perkampungan Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, kini diisytiharkan sebagai zon merah susulan kematian 14 orang penduduk yang dalam tempoh sebulang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata hanya pegawai agensi kerajaan tertentu saja yang dibenar masuk ke kawasan perkampungan itu.

"Hanya pegawai agensi kerajaan khas yang terbabit dalam operasi pencarian 12 kubur Orang Asli, dibenarkan masuk ke kawasan kampung terbabit, selebihnya dihalang.

"Antara agensi yang dibenarkan termasuk polis forensik serta anggota operasi bagi pencarian mayat Orang Asli yang ditanam secara adat," katanya kepada media, hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ketat dijalankan terhadap kenderaan yang memasuki kampung terbabit.

Jalan masuk ke perkampungan Orang Asli Kuala Koh yang terletak di Felda Aring 10 itu ditutup sejak pagi tadi, menjejaskan perjalanan kira-kira 50 petugas media dan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menghulurkan bantuan.

Menurut laporan, hanya dua kematian saja yang dijalankan bedah siasat manakala 12 lagi dikebumikan secara adat suku itu.

Kubur berkenaan perlu digali semula bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat bagi mengenal pasti punca kematian namun polis dilaporkan memerlukan sedikit masa bagi mengesan kubur tersebut.

Ditanya sama ada usaha pencarian sudah bermula, Mohd Taufik berkata ia mungkin tidak akan dibuat hari ini atas beberapa faktor.

Tinjauan mendapati beberapa agensi kerajaan mula memasuki perkampungan itu sekitar jam satu tengah hari tadi.

Antaranya Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan Unit Forensik Bukit Aman.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan dijangka tiba di lokasi petang ini. 

Lihat Komen
ADS