Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes bunuh amah: AG rayu keputusan mahkamah bebas majikan

Pejabat Peguam Negara sedang membuat rayuan berkenaan pembebasan majikan yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia Adelina Jerima Sau.

Peguam Negara Tommy Thomas berkata perkara itu kini di peringkat Mahkamah Rayuan.

"Kami sedang menunggu tarikh untuk pendengaran," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas laporan laman FMT yang memetik peguam Anbananthan Yathiraju, yang mewakili tertuduh Ambika MA Shan, yang berkata anak guamnya tidak akan berdepan sebarang tindakan lanjut.

Pada 18 April, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika, 61, daripada tuduhan bunuh selepas timbalan pendakwa raya meminta dia dilepas tanpa dibebaskan.

'AG tak dirunding'

Sementara itu, sumber yang arif dengan perkara itu memberitahu pihak pendakwaan membuat keputusan itu tanpa berunding dengan Thomas.

"AG (peguam negara) tidak dirunding dalam hal ini. Beliau sibuk mengendalikan hal berkaitan kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

"AG yang memutuskan untuk merayu terhadap keputusan pembebasan itu," kata sumber itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Susulan pembebasan tersebut, Anbananthan memberitahu media bahawa pakar forensik telah memberi keterangan bahawa tiada kesan bahan kimia atau asid yang ditemui pada Adelina, yang dikatakan mati akibat kegagalan organ dalaman.

Beliau berkata, keterangan daripada saksi pendakwaan, termasuk jiran tertuduh dan wartwan yang memberi maklumat kepada pihak berkuasa tentang perkara itu, adalah bukti khabar angin (hearsay).

Katanya lagi, apabila perbicaraan disambung pada 18 April lalu, pihak pendakwaan meminta mahkamah membuat keputusan dilepas tanpa dibebaskan (discharge not amounting to an acquittal atau DNAA) tetapi beliau meminta mahkamah menimbang untuk membebaskannya atas faktor usia dan keadaan kesihatan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, kata peguam itu lagi, mahkamah menggunakan budi bicaranya bawah Sekseyn 254(3) Kanun Tatacara Jenayah untuk membebaskan tertuduh.

Lihat Komen
ADS