Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KEMASKINI | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Ia merupakan saman pelucuthakan terbesar dalam sejarah negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata wang tersebut diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak di AmBank.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, beliau berkata sebahagian besar daripada wang itu - iaitu RM212 juta - dituntut daripada Umno.

"Buat setakat ini kita telah kenal pasti 41 individu dan entiti yang dijadikan responden dalam permohonan (SPRM) yang difail di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Wang daripada bank tempatan...diberi daripada akaun Najib dan kemudian diagihkan kepada mereka.

"Jadi transaksi yang kita kenal pasti daripada akaun (AmBank) yang dibuat atas tujuan menerima wang 1MDB," kata Latheefa.

Sejumlah 41 saman pelucuthakan telah difailkan dan SPRM setakat ini diberi empat tarikh untuk kes itu didengar secara berasingan - 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

Semakan di rekod mahkamah menunjukkan pengurusan kes untuk sepuluh saman ditetapkan pada 25 Jun di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Menurut senarai yang disertakan, antara yang terlibat ialah Umno bahagian Pekan, Umno bahagian Johor Bahru dan Badan Perhubungan Umno beberapa negeri seperti Kelantan, Selangor dan Pahang.


BacaWang songlap dari 1MDB atau derma?


Latheefa berkata, SPRM memilih jalan itu kerana pendakwaan jenayah akan memakan masa.

"Memandangkan undang-undang jelas dan kita ada cara alternatif untuk mendapatkan semula wang, kita memilih cara yang paling pragmatik.

"Akan ada kes yang melibatkan lebih daripada menerima wang saja dan mereka sebahagian daripada seluruh jaringan pemindahan dan pengubahan (wang) - untuk itu kita akan ambil langkah sewajarnya.

"Tetapi kes yang telah kita kenal pasti ialah (berkenaan) pihak ketiga yang menerima wang. Kita minta mereka pulangkannya," katanya lagi.

 'Tiada alasan'

Latheefa berkata saman pelucuthakan boleh dibuat ketika perbicaraan jenayah kes SRC International sedang berjalan.

Selepas ini, 41 responden perlu memfailkan afidavit untuk mencabar saman tersebut, dan menjelaskan bagaimana mereka memperolehi wang itu dan sama ada mereka akan mengambil langkah untuk mengesahkan sumbernya.

"Mengikut Amla, selagi anda boleh tunjukkan ada kegiatan menyalahi undang-undang dan pihak yang menerima wang tidak mengambil kangkah untuk mengenal pasti puncanya, mereka akan dikenakan proses pelucuthakan ini.

"Jika anda secara tiba-tiba menerima RM100,000, RM200,000 atau RM500 juta, anda tidak boleh membela diri dengan berkata terkejut; dan tidak mengambil langkah untuk mengesahkan (sumber wang itu).

"Alasan seperti itu tidak terpakai di bawah Amla," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS