Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Suara kebimbangan ahli PAS terpencil, terlalu sedikit

MUKTAMAR PAS | Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kebimbangan yang disuarakan sebahagian anggota PAS bahawa Umno akan mengkhinati kerjasama dengan parti itu hanyalah "suara-suara yang terpencil".

Kata Abdul Hadi, suara-suara tersebut hanya dilontarkan oleh muka-muka baru dalam parti, sedangkan muka-muka lama dapat menyambut dan menerima taawun siyasi PAS-Umno dengan baik.

“Itu suara yang terpencil, terlalu sedikit (terdiri daripada) muka yang baru dengan PAS.

“Mereka yang dah lama dan mengikuti budaya politik matang dan sejahtera akan dapat menerima keputusan (kerjasama) yang kami buat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas berakhirnya Muktamar PAS Pusat ke-65 yang berlangsung di Dewan Tertutup Sukpa, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita yang bertanyakan cara PAS menangani kebimbangan disuarakan sebahagian perwakilan dalam muktamar tersebut berhubung kerjasama itu.

Sepanjang muktamar berlangsung, biarpun semua perwakilan menyokong taawun siyasi di antara PAS dan Umno, beberapa perwakilan menyuarakan kebimbangan mereka.

Antaranya, Pemuda PAS Kedah yang menyarankan PAS perlu menjadi ketua dalam kerjasama tersebut kerana bimbang dengan "perangai lama" Umno

Wakil PAS Kelantan juga menuntut Umno meminta maaf dan bertaubat dahulu kerana sukar melupakan penganiayaan dilakukan Umno terhadap Kelantan ketika mereka berkuasa, selain beberapa perwakilan lain yang meminta PAS untuk beringat terhadap perangai Umno semasa mereka berkuasa.

Sementara itu, disoal pemberita berhubung kekeliruan usul Dewan Ulama berbunyi "memeterai taawun dan tahaluf siyasi dengan Umno" yang dibentangkan semalam, Abdul Hadi menjelaskan bahawa kerjasama mereka kini masih di peringkat taawun.

Namun, katanya penerimaan usul tersebut menandakan PAS mendapat keizinan daripada parti bagi menjalinkan hubungan ke tahap lebih jauh iaitu tahaluf siyasi.

Tambahnya lagi, proses ke arah tahaluf siyasi dengan Umno sedang dimulakan.

“Setakat ini taawun dulu, kerana bertahaluf ini ada syarat-syarat yang perlu dipersetujui bersama. Taawun ini kerjasama, tahaluf ini sejenis ikatan.

“Usul itu mengizinkan semua - mengizinkan taawun, mengizinkan tahaluf,” jelasnya lagi.

Apabila disoal pemberita tentang jangkaan masa perjanjian tahaluf akan dimuktamadkan, Abdul Hadi bagaimnapun beberapa kali mengelak dengan memberikan jawapan kabur dan berkias seperti "kita tengok anak bulan dulu".


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong, Mastura Malak dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS