Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Kepimpinan PAS dilihat perlu memberi kefahaman dalam kalangan ahli dan penyokong veteran parti itu mengenai usaha penyatuan ummah dan kerjasama dengan Umno.

Perkara itu disuarakan oleh Pemuda PAS Kedah, Nasrun Othman, yang menegaskan selain keperluan memberi kefahaman kepada ahli Umno - PAS, ia juga perlu ditekankan kepada ahli veteran.

Jelasnya, PAS perlu menggerakkan usaha bagi memastikan penyatuan ummah itu berjalan dengan baik dan bersama kefahaman yang jelas.

"Di samping memberi kefahaman kepada sahabat daripada Umno, kita juga kena memberi kefahaman kepada golongan veteran (PAS).

"(Masih) rasa serik kena dulu, sebab mereka tak faham, (jadi) kena bagi faham.

"Ahli jemaah kita ada tak setuju (bekerjasama dengan Umno) kerana mereka lihat Umno masih dengan perangai lama," katanya.

Menurut Nasrun lagi semua pihak terbabit perlu memberikan sokongan kepada langkah diambil PAS bagi memastikan "Islam memimpin".

Katanya PAS sanggup melupakan apa yang pernah berlaku dalam hubungan parti itu dengan Umno agar Islam dijadikan asas perjuangan.

Elak sejarah berulang

"Kita sanggup lupakan sejarah lama demi Islam, kerana nak Islam jadi asas perjuangan kita. Saya ingin menyatakan kesimpulan kesatuan ini akan berikan kelebihan kepada kita bila semua bersatu padu dengan tali Allah," katanya.

Nasrun berkata demikian ketika membahaskan ucaptama ketua pemuda PAS dengan tajuk Kesatuan Melangkaui Politik sempena Muktamar Pemuda PAS kali ke-60 di Kuantan, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berpandangan kesatuan yang dipelopori parti itu perlu melangkaui sempadan politik susulan penguasaan politik Islam yang didakwanya semakin lemah selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya dalam semua hal, apa yang lebih penting ialah setiap tindakan PAS sepanjang sejarah politiknya - sama ada bertahaluf atau bertaawun - ia disandarkan kepada prinsip utama yang digariskan dalam perlembagaan PAS iaitu demi mempertahan Islam.

Sementara itu tambah Nasrun, barisan kepimpinan juga perlu memberi kefahaman kepada seluruh jemaah dan penyokong PAS untuk benar-benar memahami konsep penyatuan ummah.

Katanya ia perlu dipastikan begitu agar apa yang berlaku pada hubungan kerjasama PAS sebelum ini tidak berulang.

Justeru dalam penyatuan tersebut katanya, rencana penyatuan ummah yang melibatkan parti itu dengan part-parti lain Umno khususnya perlu diketuai oleh PAS sendiri.

"Pengalaman kerjasama dengan parti politik lain pada masa lalu perlu dijadikan pengajaran dan kini PAS perlu menjadi ketua dalam kerjasama yang diusahakan.

"Kita kena pastikan matlamat penyatuan ini benar-benar ikhlas kerana Allah. Jangan ada dalam diri kita nak kepada pangkat, jawatan, kerana ini akan menyebabkan kita tak mungkin bersatu, penyatuan ini perlu berlandasarkan ukhwah.

"PAS kena jadi leader, berada di tempat teratas bagi supaya al-Quran dan sunnah nabi dapat dipertahankan," katanya.

Sebelum ini kata Nasrun, ada parti yang menjalin kerjasama dengan PAS tidak memahami perjuangan parti terbabit. kita.

PAS, katanya, berjuang mahu pertahankan agama Allah, bukan sekadar mempertahankan bangsa, bahasa, Yang di-Pertuan Agong.

"Tetapi yang utama adalah Islam," katanya.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS