Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO beri amaran cerun tak stabil di Pulau Pinang
Diterbitkan:  Jun 28, 2019 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Susulan beberapa insiden tanah runtuh di Pulau Pinang, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum membangkitkan persoalan tentang ketidakstabilan tanah cerun di sekitar pulau tersebut.

NGO itu menyarankan langkah berjaga-jaga perlu diambil dengan teliti dalam menjalankan pembangunan cerun bukit.

Mengambil contoh kejadian terbaru di Tanjung Bungah pada Selasa lalu, NGO berkenaan mendakwa kerja binaan di situ dilakukan secara haram oleh pemilik tanah tanpa mendapatkan permit yang sepatutnya.

Tambah NGO itu, meskipun Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempunyai pasukan yang memantau kerja-kerja pembinaan haram, dakwanya, aktiviti di Tanjung Bungah itu tidak disedari memandangkan lokasinya yang terletak di bawah jalan dan tersembunyi,

“Ini bermakna, walaupun MBPP mempunyai pasukan untuk memantau kerja-kerja haram sebegitu, ia tak dapat mengesan kes itu (Tanjung Bungah) kerana lokasinya teselindung.

“Ini menimbulkan persoalan, berapa banyak lagi kerja pembinaan haram di cerun bukit yang sedang dilakukan di negeri ini, dan adakah MBPP telah melakukan pemantauan dan mempunyai kapasiti penguat kuasa yang cukup untuk mengesan dan mengambil tindakan terhadap kes-kes macam ini?” soalnya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian 25 Jun, empat pekerja warganegara Myanmar terkorban dalam tanah runtuh di Resort Lost Paradise, Tanjung Bungah dekat George Town, Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa pihak berkuasa termasuk polis untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut dan memastikan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut.

Penang Forum turut mengingatkan bahawa sebelum insiden terbaru itu, dalam masa kurang dua tahun, Pulau Pinang telah dilanda dua kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa: di Granito pada 21 Oktober 2017 dan di Bukit Kukus pada 19 Oktober tahun lepas.

Dalam ketiga-tiga tragedi ini, sejumlah 24 nyawa telah terkorban.

“Kes tanah runtuh terbaru ini sekali lagi menuntut perlunya lebih kesedaran awam (diterapkan) berhubung keselamatan cerun dan perlunya untuk pemilik tanah tahu tentang tanggungjawab mereka dalam menyelenggara cerun (di tanah mereka), serta memaklumkan kepada pihak berkuasa apabila melihat adanya tanda-tanda hakisan atau ketidakstabilan cerun,” kata Penang Forum.

Denda maksimum

Sementara itu, cerun dalam insiden Tanjung Bungah itu terletak di pinggir jalan utama yang menghubungkan Tanjung Bungah dengan Batu Ferringhi, merupakan kawasan bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).

JKR mendapati bahawa kerja pembinaan di situ merupakan punca cerun tersebut runtuh sehingga mengakibatkan insiden itu.

“Susulan kejadian tanah runtuh itu, adalah penting untuk kerajaan Pulau Pinang menjelaskan kepada pemilik-pemilik tanah tentang tanggungjawab mereka terhadap cerun di tanah mereka, juga saluran tepat untuk mereka laporkan sebarang kes hakisan dan ketidakstabilan cerun,” katanya lagi.

Mereka turut meminta siasatan menyeluruh dijalankan ke atas insiden tanah runtuh pada 25 Jun itu bagi mengenal pasti jika ada pihak-pihak yang boleh didakwa atas kecuaian mereka.

“Kami gesa pihak berkuasa untuk buat penjelasan, semak laporan-laporan dan kenakan penalti maksimum sebagai langkah pencegahan supaya tiada lagi nyawa terkorban selepas ini.

“Pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih komprehensif juga perlu dilakukan, terutamanya dalam mengenal pasti pembinaan haram di cerun," kata NGO itu.

Penang Forum turut mencadangkan undang-undang dan denda yang lebih keras dikenakan terhadap pemilik tanah yang ingkar terhadap undang-undang agar kejadian seumpama itu tidak akan berulang.

NGO itu turut menegaskan bahawa insiden terbaru itu mendedahkan betapa bahayanya pembangunan di cerun, sama ada yang dibenarkan atau tidak.

“Kami gesa supaya kerajaan negeri mengkaji semula polisi, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembangunan cerun bukit.

“Moratorium (larangan sementara) perlu dikenakan terhadap semua pembangunan cerun dan projek lebuh raya di kawasan bukit, sehinggalah pemeriksaan komprehensif dijalankan terhadap semua cerun bukit, tindakan pemuliharaan diambil, dan pemulihan cerun bukit dilaksanakan,” katanya lagi.

[Baca berita asal]

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS