Malaysiakini BERITA

Najib, Rosmah bantah tuntutan pihak ketiga ke atas aset disita

Hariz Mohd  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas perdana menteri Najib Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor serta tiga daripada anak-anak mereka membantah tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga ke atas aset mereka yang dirampas tahun lalu.

Menurut peguam Syahirah Hanafiah, mereka akan memfailkan usul ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meminta butiran barang-barang yang disita semasa satu siri serbuan oleh pihak berkuasa yang menjalankan siasatan ke atas kes berkaitan dengan 1MDB.

"Pengurusan kes pada hari ini pada dasarnya adalah mengenai perkara mengenai senarai (barangan rampasan) dan untuk mendapat perintah dari Hakim Mohamed Zaini (Mazlan).

"Walau bagaimanapun, kami membantah satu perkara, iaitu tuntutan pihak ketiga (ke atas barangan rampasan).

"Ini kerana buat responden pertama, Najib, pada dasarnya barang-barang yang disita itu adalah miliknya.

"Jadi kami membantah kerana barangan itu milik anak guam kami," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini.

Syahirah bercakap kepada Malaysiakini selepas pengurusan kes mengenai perkara itu selesai di hadapan Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas.

Bulan lalu, Jabatan Peguam Negara memfailkan saman untuk melucuthakkan beratus-ratus barangan dan aset bernilai jutaan ringgit ke atas 19 individu dan syarikat.

Antara mereka yang dinamakan ialah Najib, Rosmah, dan anak-anak mereka Riza Aziz, Nor Ashman dan Nooryana Najwa. Turut dalam senarai itu adalah Goh Gaik Ewe, ibu kepada ahli perniagaan yang berkaitan dengan 1MDB, Low Taek Jho.

Barang-barang yang mahu dilucuthakkan oleh kerajaan itu, antara lain, termasuk 27 kenderaan, beg tangan, jam tangan dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan kerajaan untuk mengeluarkan notis yang meminta mana-mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan aset yang disita berkenaan untuk memfailkan tuntutan mereka.

 [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib, isterinya, Rosmah Mansor dan tiga anak mereka membantah tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga terhadap harta mereka yang dirampas oleh pihak polis tahun lepas.

Peguam Syahirah Hanafiah yang mewakili Najib, Rosmah dan tiga anak mereka berkata pihaknya akan memfailkan notis permohonan untuk membantah dan notis perakuan segera di Mahkamah Tinggi sebelum atau pada 18 Julai ini berhubung perkara itu.

“Kami membantah pihak ketiga menuntut harta yang disita itu. Secara asasnya harta dirampas di bawah nama responden pertama iaitu Datuk Seri Najib, apa yang dirampas adalah barang miliknya,” kata peguam itu selepas pengurusan kes dalam kamar di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas di sini, hari ini.

Harta-harta itu disita oleh pegawai penyiasat polis antara 17 Mei 2018 hingga 11 Mac 2019 adalah berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) atau hasil daripada aktiviti haram melibatkan responden-responden.

Selain itu, Syahirah berkata, pihaknya juga akan memfailkan satu permohonan bagi mendapatkan senarai harta bagi mengetahui perinciannya iaitu dari mana harta diambil, jenis harta, jenama, warna dan seumpamanya.

Syahirah berkata pengurusan kes ditetapkan pada 30 Ogos ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Pada 30 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah kereta yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan adalah bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Pada 7 Mei lepas, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan notis usul berhubung pelucutan hak terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah kereta yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Pendakwa Raya menamakan Najib, Rosmah, Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib, Nooryana Najwa Mohd Najib, Mohd. Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn. Bhd., Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn. Bhd., Goh Gaik Ewe, Ng Chong Hwa, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden pertama hingga ke-18.

Antara barangan yang disita itu ialah 52 buah beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750, Pound Sterling 320,500, Rupiah 13,177,00, US$100, Hryvnies (Ukraine) 376, Euro 20, France 50, South African 10 Rand, Singapore Dollar 40, Riyal 531, Phillipines Peso 740 dan Ringgit Malaysia 21,150 (wang baru) yang disita pada 17 Mei 2018.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama (17 Mei 2018) ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama, empat buah beg tangan pelbagai saiz dan jenama, 167 buah beg tangan pelbagai jenama dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta 40 buah beg tangan pelbagai jenama turut disita pada 11 Jun 2018.

Sebanyak 27 buah kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain.