Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib: Terima kepimpinan Zahid, jangan buat huru-hara dalam Umno

Najib Razak menggesa anggota Umno agar tidak mencetuskan "huru-hara" dalam parti itu dan menerima Ahmad Zahid Hamidi yang kembali sebagai presiden.

Bekas presiden Umno itu berkata, mana-mana anggota yang tidak gembira dengan kepulangan Zahid perlu menunggu beliau menghabiskan mandatnya selama tiga tahun.

"Beliau balik sebagai presiden sebab dia ada mandat sampai tiga tahun. Kita terima (kepulangannya). Kalau kita tak suka, kita tunggu tiga tahun.

"Tapi jangan buat huru-hara dalam parti, jangan ada kem dalam parti," katanya ketika menlancarkan mesyuarat Umno Setiawangsa hari ini.

Beliau turut menggesa anggota Umno agar bersatu "demi rakyat Malaysia" dan memberi perhatian kepada isu berkenaan rakyat, bukannya soal dalaman parti.

Mengulang dakwaan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto, beliau berkata Umno perlu bersuara dalam isu seperti penjagaan kesihatan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan untuk mendapatkan semula sokongan rakyat.

"Biar rakyat yakin dgn kita. Kalau kita huru-hara berperang (dalam parti), rakyat tak yakin kepada kita.

"Kita nak berkuasa balik kan? Buatlah cara nak berkuasa balik, jangan bergaduh saja," katanya sambil maklum parti itu memang mempunyai sejarah kemelut dalaman antara pemimpinnya.

'Umno-PAS senjata ampuh'

Sementara itu Najib menyifatkan kerjasama parti itu dengan PAS sebagai "senjata ampuh" untuk menewaskan kerajaan PH.

"Kalau esok parlimen dibubarkan, BN dengan kerjasama PAS boleh tubuh kerajaan baru. Inilah antara senjata yang ampuh.

"Inilah perpaduan Melayu-Islam sejati yang akan menentukan masa depan kita," katanya sambil berkata kerjasama itu sudah terbukti dalam beberapa pilihan raya kecil.

Ketika ditanya pemberita kemudiannya sama ada wujud kem dalam Umno, Najib menjelaskan beliau merujuk kepada komen-komen di media sosial oleh sebilangan kecil pihak tetapi dibesar-besarkan.

"Kita mesti hentikan ini semua... Saya nak kita bersatu untuk rakyat."

Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan pada Disember lalu, di tengah-tengah desakan agar beliau meletakkan jawatan.

Sejumlah pihak dalam Umno ketika itu mengkritiknya sebagai gagal menunjukkan hala tuju parti, selain keluarnya beberapa anggota parlimen daripada parti itu.

Beberapa jam sebelum Zahid mengumumkan kembali bertugas sebagai presiden, bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin - yang dilihat rapat dengan Mohamad - berkata beliau patut mendapatkan pandangan daripada Majlis Tertinggi Umno dulu sebelum membuat keputusan.

Lihat Komen
ADS