Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas muktamar ke-65 hujung bulan lalu, PAS meletakkan komposisi baru dalam barisan kepemimpinannya untuk mengheret parti itu menghadapi ruang dan peluang mendepani senario politik masa depan di negara ini.

Berdasarkan keputusan diambil perwakilan baru-baru ini, PAS kini menampakkan bagaimana mereka parti itu diterajui lebih oleh pemimpin dari Pantai Timur.

Ia begitu jauh daripada wajah PAS suatu ketika dulu.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berpendapat, situasi terkini PAS boleh ditafsirkan sebagai parti itu tidak lagi menunjukkan minat untuk berkembang secara menyeluruh di peringkat nasional.

"Saya lihat dengan barisan kepemimpinan hari ini PAS berada di garis atau jalur konseversif dan mahu mepersembahkan garis tradional dengan tapak kekuatan di Pantai Timur, iaitu kawasan Melayu tradisional yang kurang mendapat pengaruh perubahan (arus perdana)," katanya.

Dr Mazlan Ali

Dalam keadaan begitu, kata Mazlan, PAS pada akhirnya nanti akan mencapai kedudukan yang pernah dialami mereka dulu, iaitu perjuangan agak sempit dan lebih kepada isu agama dan kaum.

"Sebab itu PAS kini boleh 'masuk' dengan Umno," katanya ketika diminta mengulas perkembangan kepimpinan baru PAS.

Sudah 17 tahun jadi ketua

Terdahulu, PAS mengekalkan Abdul Hadi Awang selaku presiden dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala bagi jawatan naib presiden mengekalkan dua daripada penyandang - Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah - kekal.

Iskandar A Samad pula tidak mempertahankan jawatannya, sekali gus membolehkan muka baru, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengisi satu lagi tempat naib presiden.

Untuk rekod empat daripada lima pemimpin peringkat tertinggi itu datang dari Pantai Timur. Abdul Hadi dan Samsuri adalah tokoh dari Terengganu, manakala Mohd Amar dari Kelantan dan Tuan Ibrahim, Pahang.

Keputusan itu juga menjadikan Abdul Hadi sebagai tokoh paling lama mengetuai PAS iaitu sejak 17 tahun lampau.

Gambar fail

Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, PAS suatu masa dahulu sudah dibawa ke aliran pemikiran lebih terbuka dengan idea-idea progresif sejak era 1998.

Katanya, selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri, PAS tampil memperkasaan parti untuk lebih matang dan berjaya mendapat tempat dalam pelbagai segmen masyarakat.

Ketika itu katanya PAS ditempatkan dalam posisi terbaik dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

"Tetapi era itu berakhir selepas 2015 apabila ramai golongan profesional disingkirkan dan PAS mula kembali mempamerkan wajah lamanya.

"Akhirnya PAS ini menunjukkan kembali seperti era 1950-an, 1960-an dulu, wajah asalnya.

"Politik PAS hari ini akan berkisar sekadar perjuangan Melayu-Islam, sebab itu kalau kita tengok dalam pemilihan baru-baru ini, semua yang dipilih adalah tokoh yang berada pada garis konservertif, mereka yang walak tegar pada kepimpinan," katanya.

Pemikiran lebih ke depan

Barisan sebegitu, katanya, menjadikan kedudukan Abdul Hadi kekal semakin kukuh.

Katanya ia juga menunjukkan hanya orang yang sealiran dengan anggota parlimen Marang itu sahaja boleh menguasai PAS, manakala tokoh memiliki idea progresif akan terpinggir.

Sementara itu bagi bekas naib presiden PAS, Nakhaie Ahmad, berkata anggota dan penyokong PAS tidak mengambil berat soal dari mana pemimpin datang, sebaliknya apa yang lebih penting adalah idea dan pemikiran.

Menurut beliau, tidak menjadi masalah kepimpinan tertinggi PAS dikuasai tokoh-tokoh dari Pantai Timur kerana sememangnya asas kekuatan parti itu adalah dari negeri-negeri tersebut.


Baca PAS yang positif


Malah kata Nakhaie, penyokong PAS memiliki pemikiran yang lebih "advanced" berbanding penyokong Umno.

"Orang PAS mereka tak kira sangat pemimpin dari mana, sebab itu orang Pantai Barat bertanding di Pantai Timur pun boleh menang. Mereka tak taasub sangat orang itu dari mana, mereka lebih advance pemikiranya daripada Umno.

"Kalau Umno, jika orang luar bertanding akan kalah, mereka tak terima. Dan Pantai Timur adalah asas tapak yang kuat kepada PAS," katanya.

Pun begitu Nakhaie berpendapat kepemimpinan PAS hari ini perlu tampil dengan pemikiran dan idea terkedepan untuk meraih pengaruh masyarakat di Pantai Barat.

"Soal sekarang ialah pemikiran, jika pemimpin boleh tampilkan pemikiran terkedepan, yang boleh tackle (menarik perhatian) orang-orang di Pantai Barat.

"Yang penting adalah idea dan kenyataan-kenyataan yang relevan. Bukan tampil dengan kenyataan tak relevan atau tak betul dan orang nampak kepimpinan yang tidak begitu cekap atau bijak," katanya.

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Bagi Pensyarah Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff, beliau mengakui struktur kepimpinan PAS kini memberi tanggapan bahawa parti itu kembali terperuk pada garis konservertif atau bernada keras.

Bagaimanapun, katanya, keberadaan Ahmad Samsuri menggantikan Iskandar bagi jawatan naib presiden itu adalah tindakan wajar.

"Ini kerana atas kapasiti Ahmad Samsuri sebagai menteri besar Terengganu dan mewakili golongan profesional.

"Sudah menjadi kebiasaan kepada PAS memilih dua pimpinan ulama dan seorang yang mewakili profesional," katanya..

Sambil mengakui ada tanggapan PAS kembali ke garis keras, Kamarul Zaman berkata fokus utama parti itu kini ialah mengukuhkan perpaduan ummah.

Lihat Komen
ADS