Paling Popular
Terkini

PULASAN | Lama benar tidak sempat hadir secara fizikal dalam dewan tempat berlangsungnya muktamar PAS. Kali terakhir melakukannya, entah berapa belas tahun yang lampau.

Justeru apabila berada dalam dewan yang besar di Gambang baru-baru ini, ada juga sedikit rasa teruja. Melihat wajah-wajah yang sentiasa optimis di merata-rata tempat di situ, memang menyejukkan mata.

Susuk Kamal Ashaari sebagai pengerusi tetap Pemuda PAS Malaysia pula sesekali membuat saya berasa muda.

Saya tanyakan kepada beberapa rakan wartawan mengenai Kamal. Tidak ada tahu bahawa suatu ketika dulu ustaz itu pernah terkenal di seantero Malaysia dengan kisah luar biasanya.

Ketika namanya menjadi sebutan ramai, saya pernah berada dekat dengan mimbar tempat beliau berkhutbah di sebuah masjid di Permatang Pauh. Cuma dalam khutbahnya Kamal tidaklah bersyarah tentang mayat yang bertukar menjadi babi itu.

Tapi itu kisah beberapa puluh tahun silam. Mungkin sebahagian besar muktamirin dan wartawan yang mengikuti program berkenaan minggu lalu belum pun lahir, atau masih memakai lampin ketika itu.

Itulah PAS.

Kemudian ada pula muktamar Ulama PAS Pusat. Ia adalah himpunan para ilmuan yang menjadi rujukan dalam setiap gerak langkah parti itu. Dewan berlangsungnya muktamar tersebut sekadar dewan biasa. Ia tidaklah seperti Pemuda PAS yang bermuktamar di pusat percutian yang terkenal di Pahang itu.

Pujian sentiasa meniti bibir

Muktamar Ulama PAS diadakan di Dewan Belia di Indera Mahkota. Bagi yang faham, ia adalah simbolik betapa sayap kanan PAS itu - kalau pun dianggotai orang tua-tua - semangatnya tetap membara bagai pemuda.

Di akhir muktamar Ketua Ulama PAS Pusat menunjukkan budaya politik matang dan sejahtera parti itu. Kata beliau PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa saja demi Islam.

Kecuali dengan PAN. Maksud beliau, Amanahlah. PAS memang tidak boleh menamakan parti berkenaan dengan Amanah. Biar bagaimana sekali pun, di mata PAS - dan di lidah anggotanya - Amanah tetap PAN.

Akhirnya kemuncak perhimpunan tahunan PAS bermulalah. Ia berlangsung pada hari yang penuh berkah dan di negeri yang penuh ramah buat mereka.

Ia berlangsung dengan penuh meriah dan tebal pula roh kemelayuan. Rasanya memang begitulah yang diinginkan PAS. Sejak muktamar pemuda mereka, pemimpin dan segelintir anggota parti nampak seronok benar bertanjak ke sana dan ke sini.

Malamnya para perwakilan kenyang dijamu Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Memang kerajaan Pahang kelihatan sangat dekat dengan PAS kali ini. Umno mendapat tempat yang terpahat di hati PAS. 

Di sana sini pemimpin PAS tidak lupa memuji dan menghargai keikhlasan serta kemurahan hati kerajaan negeri kepada mereka.

Itulah, pada setiap kejadian yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Kerana BN kalah, terlorong jalan untuk PAS bermuktamar buat kali pertama di Pahang - sebuah negeri yang ditadbir parti yang menjadi pembangkang di peringkat persekutuan. Ia juga negeri tempat berkubunya Najib Razak.

Terbentang luas sejauh mata memandang pula rezeki buat PAS.

Dalam ucapan penggulungannya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menceritakan bagaimana ada tiga pihak berebut untuk membeli ruang iklan pada buku cenderamata PAS untuk muktamirin kali ini.

"Tak pernah berlaku dalam sejarah PAS," kata Takiyuddin.

Menurut anggota parlimen Kota Bharu itu, pihak yang berebut untuk membeli ruang iklan pada muka belakang buku tersebut ialah: sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari Terengganu, sebuah dari Kelantan dan yang ketiga, Badan Perhubungan Umno Pahang.

Untuk rekod, harga bagi halaman tersebut ialah RM75,000.

Atas dasar taawun dan hikmah, kata Takiyuddin, pihak penganjur memilih Umno untuk muncul sebagai penaja muka belakang dan pada masa sama tidak menghampakan dua pelanggan yang lain.

Isu kartel dedak tak kedengaran

Maka wujudlah tiga halaman "muka surat belakang" pada buku berkenaan. Dua GLC yang masing-masing dari Terengganu dan Kelantan itu diberikan ruang melalui reka bentuk khas pada buku tersebut.

"Bayangkanlah, RM75,000 kali (darab) tiga," katanya.

Selain diberikan ruang untuk menggunakan stadium tertutup yang terletak di pinggir pusat bandar Kuantan, PAS juga tidak lupa menghargai sumbangan daripada pelbagai pihak di Pahang.

"Malamnya bagi makan pulak - Umno semua ni - bagi makan kepada kita. Kemudian Majlis Perbandaran Kuantan dan GLC banyak memberikan sumbangan kepada kita," katanya.

Sesi penggulungan pemimpin lain tidak kurang juga menariknya. Pelbagai isu yang dibangkitkan perwakilan, dibalas dengan sangat baik oleh saf pemimpin mereka.

Cuma daripada apa yang dilontarkan mereka, nampaknya isu kartel dedak langsung tidak mendapat tempat. Mungkin sudah ada arahan tertentu diberikan sebelum muktamar berlangsung. Jika benar, ahli PAS sekali lagi menunjukkan walak tidak berbelah bagi mereka kepada pimpinan.

Jika sebaliknya, ternyata isu kartel dedak itu bukanlah masalah besar buat orang PAS. Berdasarkan isu perbahasan, isu tolong-menolong dan tumpang-menumpang dengan Umno jauh lebih besar dan utama.

Ucapan penggulungan salah seorang naib presiden PAS yang menyentuh mengenai laporan media massa, khususnya Malaysiakini, juga sangat menarik perhatian.

Melalui ucapan itu, dapat disaksikan betapa Mohd Amar Nik Abdullah memang seorang pemimpin yang berwawasan tinggi serta hebat pula mantiknya. Maka tepat benarlah kedudukan beliau yang diletakkan sebagai pemimpin masa depan PAS.

Ia juga menepati sifat seorang pemimpin yang selalu berada "di atas pokok". Justeru beliau menggunakan kelebihan itu untuk menyampaikan mesej tersirat kepada perwakilan dan penyokong PAS.

Bagi Mohd Amar, laporan disiarkan media - terutama Malaysiakini - selalu negatif walaupun kandungannya elok.

Sebenarnya semasa menegur tajuk-tajuk berita disiarkan Malaysiakini yang disifatkannya sebagai negatif itulah, Mohd Amar sempat menghantar 'pukulan kasih sayang' kepada peminat PAS.

"[...] dan sebahagian daripada kita suka baca tajuk, isi tak baca," katanya.  Kira-kira, Mohd Amar "pukul Malaysiakini sindir ahli" jugalah.

Itulah masalah kebanyakan penyokong pembangkang. Meloncat cepat sangat. Nampak saja tajuk berita tertentu, terus melatah. Isi laporan tak dibaca, padahal membaca itu jambatan ilmu.

Amalan rajin membaca tidak sekadar mentelaah tajuk berita saja, sebaliknya termasuk meneliti apa yang ditulis di bawah tajuk berkenaan.

Dan di bawah ini - melalui komen-komen pembaca - ada kemungkinan besar anda dapat membaca kata-kata orang yang disebutkan oleh Mohd Amar itu.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang gemarkan ikan patin masak gulai tempoyak Temerloh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS