Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pasukan petugas khas kes Amri, Koh mungkin ditambah ahli bukan Melayu'

Pasukan petugas khas bagi menyiasat kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh mungkin akan disertai seorang lagi anggota bukan Melayu, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pihaknya juga telah mempunyai pengganti untuk bekas ketua bahagian perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri 2 Julai lalu.

"Selepas (penarikan diri Mokhtar), di peringkat kementerian dan saya, kita telah menamakan pengganti dan saya rasa kita mungkin akan tambah seorang lagi selain pengganti itu.

"Kita mungkin pilih seorang bukan Melayu (untuk anggota tambahan) yang saya rasa lebih sesuai untuk menganggotai pasukan petugas khas," katanya dalam sidang media selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin berkata pasukan petugas khas itu akan bertemu sama ada esok atau lusa.

Pelantikan Mokhtar ke dalam pasukan itu dikritik keluarga Amri dan Koh yang mempersoalkan sama ada beliau mampu bertindak dengan adil memandangkan pegawai itu mewakili polis dalam inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Beberapa hari kemudian Mokhtar mengumumkan menarik diri daripada pasukan petugas khas.

Pasukan itu diketuai bekas hakim mahkamah tinggi, Abd Rahim Uda dan dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Zamri Yahya; Pengarah Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria, dan Setiausaha Bahagian, Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.

Pada 3 April lalu, Suhakam mengeluarkan laporan inkuiri yang berjalan selama 18 bulan, bagi menyiasat kehilangan Amri dan Koh.

Laporan itu menyimpulkan Cawangan Khas (SB) polis bertanggungjawab terhadap "kehilangan paksa" Amri dan Koh.

Susulan itu, kerajaan pada Mei setuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat laporan yang dikeluarkan Suhakam.

Koh, 64, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya, Selangor pada 13 Februari 2017, manakala Amri, 44, yang merupakan pengasas bersama NGO Perlis Hope, hilang pada 24 November 2016.

Lihat Komen
ADS