Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mokhtar tarik diri dari pasukan siasat kehilangan Amri, Koh
Diterbitkan:  Jul 2, 2019 11:27 AM
Dikemaskini: 4:27 AM

Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mokhtar Mohd Noor menarik diri daripada pasukan petugas khas bagi menyiasat kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan dalam satu kenyataan hari ini bahawa Mokhtar telah menarik diri dan penggantinya akan diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebelum ini dikritik apabila mengumumkan pelantikan Mokhtar, dengan sikap berkecualinya dipersoalkan oleh keluarga Koh. 

Muhyiddin berkata semasa pendengaran Suhakam berhubung kehilangan Koh dan Amri, Mokhtar menghadiri hanya satu sesi dan tidak terlibat secara langsung di dalamnya.

“Saya yakin ia tidak menjejaskan kewibawaan pasukan petugas berkenaan, saya dapat maklumat bahawa beliau (Mokhtar) ada terlibat sekali dalam masa pendengaran kes sahaja," kata Muhyiddin Jumaat lalu.

Rabu lepas, Muhyiddin mengumumkan pasukan itu ditubuhkan dengan melibatkan enam anggota yang diketuai bekas hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

Selain Mokhtar pasukan itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid.

Selain itu, Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis KDN, Mohd Russaini Idrus.

April lepas, Suhakam mengeluarkan laporan yang membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan secara paksa terhadap Koh dan Amri.

Susulan laporan itu, kabinet pada 23 Mei bersetuju sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam itu.

Koh, 64, diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng semasa memandu di Kelana Jaya Selangor pada 13 Feb 2017 manakala Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016.

Lihat Komen
ADS