Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan tak berhasrat pinda perlembagaan kawal tebang hutan

Putrajaya tidak berhasrat meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengawal penebangan hutan, maklum Menteri Air, Tanah dan Sumber, Dr Xavier Jayakumar.

Jelasnya, ketika pembentukan Malaysia dipersetujui urusan hal ehwal tanah tertakhluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Pada ketika ini, kami tidak berhasrat untuk meminda perlembagaan berkaitan dengan urusan hal ehwal tanah," katanya kepada pemberita apabila ditemui di lobi parlimen hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Putrajaya mungkin akan meminda perlembagaan bagi mengawal kegiatan penebangan hutan.

Bagaimanapun, menteri itu berkata kerajaan merancang untuk meminda Akta Perhutanan 1984 pada Mac tahun depan.

"Terdapat lebih banyak lagi penguatkuasaan dan tindakan hukuman terhadap pembalak haram dan individu yang masuk ke dalam hutan tanpa kebenaran," katanya.

Sementara itu, Xavier juga mengesahkan Hutan Simpan Sungai Pulai, lokasi terletaknya Forest City sudah tidak lagi menjadi kawasan perlindungan hutan paya bakau.

"Jika kamu katakan sudah ada resort padang golf, bagaimana ia masih lagi boleh menjadi hutan simpan?

"Bahagian kawasan yang telah ditukar menjadi resort padang golf itu sudah tentu bukan lagi kawasan perlindungan hutan paya bakau," katanya.

Ketika ditanya mengenai pemilik tanah berkenaan, beliau menjawab: "Mungkin kerajaan negeri (yang punya), saya tidak pasti."

Hutan Simpan Sungai Pulai, yang diwartakan pada tahun 1962 merupakan kawasan hutan paya bakau berkeluasan 8,334 hektar, hampir dua kali ganda Putrajaya.

Sungai Pulai juga dimasukkan dalam Senarai Tanah Lembap Penting Antarabangsa pada tahun 2003 di bawah Konvensyen Ramsar.

Menurut tapak Konvensyen Ramsar, Sungai Pulai merupakan sistem paya bakau sungai terbesar di Johor dan "salah satu contoh terbaik" dari lembangan sungai tropika dataran rendah, yang menyokong biodiversiti yang kaya.

Laporan khas Malaysiakini menunjukkan Forest City Golf Resort termasuk dalam kawasan hutan simpan itu.


BACA BERKAITAN: Padang Golf di hutan simpan


Bagaimanapun, terdapat keraguan dalam proses penukaran status tanah di sana.

Malaysiakini telah menghubungi pihak Forest City bagi mendapatkan penjelasan sejak Januari lalu, tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas setakat penulisan berita ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS