Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Satu perubahan yang dapat dirasai sejak pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan adalah berleluasanya berita palsu di media sosial.

Sudah tentu ini disebabkan pendekatan yang diambil oleh kerajaan sekarang dengan memberi ruang dan kebebasan untuk rakyat bersuara dan pengamal media menyampaikan berita.

Tidak kurang juga ada segelintir pegawai-pegawai menteri yang meminta agar Akta Antiberita Tidak Benar digunakan dan tidak dimansuhkan.

Ujar mereka, penat jugalah nak kena membuat penjelasan setelah berita palsu menjadi tular dalam masyarakat.

Pada saya, penguat kuasaan akta bukan jalan penyelesaian yang terbaik untuk menghapuskan berita-berita palsu yang mudah ditular dalam masyarakat kita.

Apa yang diperlukan ialah masyarakat yang tidak cepat “melompat” atau berhati-hati apabila menerima sesuatu berita di media sosial dan Whatsapp.

Tetapi, kalau dah berita itu mengenai agama dan kaum memang semua orang akan terus melompat dan menekan butang share sehingga menteri yang berkaitan terpaksa mengeluarkan kenyataan balas.

Jadi modus operandi penyebaran berita di Malaysia ialah: Sebar kemudian tunggu respons daripada menteri/kementerian/agensi yang berkaitan.

Sampai satu tahap kita tertanya-tanya: “Apa jahil sangat menteri ini keluar kenyataan macam ini?”

Dua artikel hentam Mujahid

Seminggu yang lalu, dua ulasan disiarkan di Malaysiakini yang ditulis oleh naib presiden Umno dan presiden Persekutuan Pemuda Islam Asia; kedua-dua artikel ini menghentam Dr Mujahid Yusof berkaitan isu hak asasi masyarakat Islam di Xinjiang, China.

Menurut tulisan mereka, Dr Mujahid menyatakan bahawa penindasan umat Islam di China sebagai berita palsu dari China apabila berucap di Beijing Foreign Studies University.

Tak cukup dengan itu, diselitkan juga petikan ucapan tersebut yang berbunyi:

“False news in China about Muslims been oppressed could trigger a wave of sympathy to the oppressed and affect relationship.”

Kontroversi pertama Mujahid berkaitan Uyghur bermula apabila beliau menggunakan istilan "pusat latihan" terhadap tempat yang menurut aktivis adalah "kem tahanan".

Soalan yang timbul dalam fikiran saya ialah: Takkan menteri hal ehwal agama kita terlalu jahil sampai boleh bagi ucapan seperti ini di salah sebuah universiti yang terbaik di China?

Apabila Dr Mujahid kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa teks ucapan tersebut amat mengelirukan, tidak tepat serta tidak menggambarkan keseluruhan ucapan.

Saya mengambil keputusan untuk menjimatkan masa para pembaca dengan membaca keseluruhan teks ucapan tersebut dan memberi ringkasan sebaik yang mungkin berkenaan ucapan tersebut dalam penulisan ini.

Mesej keamanan

Di awal ucapan beliau, banyak mesej-mesej keamanan dan hidup harmoni dalam kepelbagaian agama dan bangsa ditekankan.

Kemuncak kepada mesej tersebut apabila Dr Mujahid menegaskan bahawa agama seharusnya menjadi jambatan dan instrumen untuk menyebarkan keamanan dan bukannya kebencian.

Bahkan, beliau juga menolak mana-mana agama dikaitkan dengan perkataan “pengganas” kerana keganasan tidak mengenal agama. Ini dapat dirasai dalam petikan ucapan berikut:

“Religion should be a bridge of peace and instrumental to peaceful co-existence not an instrument of hatred and a reason to wage war against others.

“Unfortunately, terrorism is always perceived to sprout from specific religion or race. I strongly opposed such stigmatization and labelling because the truth is, terrorism has no religion.”

Pada masa yang sama, Dr Mujahid juga tidak melepaskan diri daripada menyatakan realiti semasa akan penggunaan agama dan kaum untuk menyebarkan berita palsu pada masa kini.

Dua ramuan utama ini: agama dan kaum adalah ramuan yang terbaik untuk menyebarkan berita palsu yang seterusnya menyemarakkan api kebencian dan permusuhan dalam masyarakat.

“Religion and race are practically fragile and can easily be sensationalized to fan hatred to others… a non-religious issue can potentially turn into religion and race case…any form of misunderstanding if misconstrued by religion and race sentiment could jeopardize relationship between nation.”

Salah satu jalan penyelesaian yang ditawarkan oleh menteri hal ehwal agama ialah dialog antara agama kerana ia dapat menghapuskan salah sangka, persepsi buruk dan stereotaip terhadap agama yang lain dalam cara yang berhemah dan beradab.

“Through the inter-religion dialogue many misperception and misunderstanding can be addressed through understanding each other.”

Berita palsu di Malaysia & China

Di bahagian akhir ucapan, Dr Mujahid menyimpulkan bahawa masalah yang dihadapi oleh Malaysia, China dan seluruh dunia adalah penyebaran berita palsu yang menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk melariskan berita, tanpa menyedari ia boleh menjadi api dalam sekam sehingga membawa kepada permusuhan dan kebencian dalam masyarakat.

Sebagai contoh, kes arwah Muhammad Adib Mohd Kassim yang seharusnya kita lihat sebagai satu kes jenayah bunuh dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu untuk menjadikannya kes berasaskan kaum dan agama sedangkan ia adalah satu kes jenayah bunuh.

Inkues Adib

Dalam jenayan sebegitu, pembunuhnya perlu dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sesuai dengan undang-undang yang sedia ada.

Di sinilah juga bermulanya apa yang dikatakan oleh Dr Mujahid bahawa sedutan ucapannya diambil secara out of context dan tidak menggambarkan keseluruhan ucapan.

Mari kita perhatikan semula sedutan ucapan yang dicanang oleh naib presiden Umno dan presiden Persekutuan Pemuda Islam Asia itu.

Mereka menyatakan bahawa Dr Mujahid menyebut:

“False news in China about Muslims been oppressed could trigger a wave of sympathy to the oppressed and affect relationship.”

Tidak dinafikan, Dr Mujahid ada menyebut perkara tersebut dan saya boleh sahkan ia “sebiji-biji” apa yang diucapkan oleh beliau.

Tetapi apa yang dua orang penulis tersebut gagal untuk memberitahu kita dua perkara:

Pertama, kenyataan tersebut adalah bersifat perumpamaan atau contoh.

Kenapa saya katakan ia bersifat perumpamaan atau contoh? Kerana beliau menggunakan perkataan “could trigger” atau dalam bahasa Melayunya ialah “boleh mengakibatkan”.

Ia jauh sekali berbeza dengan perkataan “sebagai berita palsu” yang digunakan oleh naib presiden Umno dalam menghentam Dr Mujahid berkaitan isu ini.

Perkara kedua yang gagal diberitahu oleh kedua-dua penulis itu ialah ucapan Dr Mujahid sebelum dan selepas menyebut hal berita palsu di China.

“Another problem we faced today is the potential of instigating the world society with false news that could trigger relations between nations and people across the continent. False news in China about Muslims been oppressed could trigger a wave of sympathy to the oppressed and affect relationship.

“While false news about Hindu follower been treated unjustly by Muslims in Malaysia for example could trigger hatred towards the Muslims minority in India and many other examples of how false news could destabilize the whole structure of the society across the continent in a speed of time and with greater effect.”

Dalam erti kata lain, sebagai contoh, berita palsu mengenai apa yang berlaku terhadap kaum minoriti India di Malaysia boleh membangkitkan kebencian dan permusuhan ke atas kaum minoriti Islam di India dan inilah yang terjadi sekiranya berita palsu yang bersanadkan kaum dan agama digunakan dalam masyarakat.

Nilai secara keseluruhan

Saya pasti dan percaya para pembaca boleh menilai secara keseluruhan mesej dan isi ucapan Dr Mujahid semasa beliau berada di China adalah bukanlah untuk “menjilat” China dengan menyatakan bahawa penindasan umat Islam di China adalah satu berita palsu.

Apa yang beliau ingin sampaikan, setidaknya apa yang saya faham ialah situasi masa kini umat Islam di China boleh dieksploitasi sebagai berita palsu yang berbaur sentimen agama dan kaum sehingga menyebabkan permusuhan dan kebencian ke atas kaum Cina di dalam negara lain.

“Bukan itu sahaja, beliau juga menyeru agar agama dijadikan kunci kepada kedamaian bukannya api kepada permusuhan.

Kepada dua penulis tersebut, saya berharap agar mereka membaca dan menilai terlebih dahulu isi ucapan mana-mana menteri selepas ini supaya tidak kelihatan jahil dalam menjadi check and balance kepada kerajaan masa kini. Kesianlah dekat rakyat; kerajaan dahlah jahil dalam isu-isu begini, janganlah sampai pembangkang pun sama-sama jahil dalam mengkritik.


ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftaraikan sebagai peguam cara dan peguam bela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di Twitternya @zharifbadrul6.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS