Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen: Tahanan Filipina diberi makanan berkhasiat 4 kali sehari
Diterbitkan:  Jul 9, 2019 11:21 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Jabatan Imigresen menafikan layanan buruk diberikan terhadap tahanan wanita Filipina di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil seperti didakwa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) minggu lalu.

Kata ketua pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud, Jabatan Imigresen memperuntukkan kos setinggi RM139 juta setahun bagi memastikan pengurusan dan operasi dijalankan dengan baik seperti penyelenggaran dan makanan di 14 depot tahanan di seluruh negara termasuklah di Bukit Jalil.

“Jadi dakwaan layanan buruk terhadap tahanan adalah tidak benar, termasuklah dakwaan diberi makanan basi yang dilabel layak untuk haiwan kerana kualiti makanan tahanan diperiksa setiap masa.

"Jika makanan yang diberi teruk, tentu ada kes keracunan makanan melibatkan jumlah tahanan yang ramai,” katanya semasa lawatan ke Depot Imigresen Bukit Jalil semalam, seperti dipetik Sinar Harian.

Khairul berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dikeluarkan di laman web kumpulan advokasi Migrante International minggu lalu yang menceritakan layanan buruk didakwa dihadapi oleh sekumpulan wanita dari Filipina sepanjang ditahan di depot Bukit Jalil.

Antara dakwaan tersebut termasuk mereka diberi makanan basi, dibiarkan baring di lantai sejuk dan keras, tidak dibenarkan menggunakan tikar sebagai alas tidur, selain sel-sel tahanan yang kotor dan sempit

"Hak kami sebagai manusia dilanggar dan kami diperlakukan seperti haiwan, semua kanak-kanak sentiasa dalam ketakutan," kata salah seorang wanita yang ditahan di situ.

Mengulas lanjut Khairul berkata mereka diberikan makanan berkhasiat empat kali sehari, kemudahan dalam blok kurungan yang lengkap dengan sudut bacaan dan permainan kanak-kanak, serta kemudahan katil untuk ibu mengandung dan wanita yang mempunyai anak.

Malah beliau berkata penyediaan makanan juga dipastikan mengikut diet yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan menelan kos RM80 juta daripada peruntukan tahunan.

Khairul turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengambil barang peribadi tahanan.

Katanya, setiap barang yang dibawa akan direkodkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan yang mana semua barang peribadi akan diserahkan semula kepada tahanan apabila keluar daripada depot.

Untuk rekod, Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil kini menempatkan 1,438 tahanan lelaki dan wanita warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS