Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Khazanah, KWSP yang tolak tawaran Maju Holdings ambil alih Plus'

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bukan beliau yang membantah tawaran pengambilalihan Maju Holdings Sdn Bhd terhadap Plus Malaysia Berhad (Plus), sebaliknya ia adalah keputusan pemegang saham utama. iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad.

"Tentu kita terima banyak permohonan daripada pelbagai pihak dan bila kita buat keputusan, ia berlandaskan kepentingan oleh pemegang saham utama - Khazanah dan KWSP.

"Buat masa ini, Khazanah dan KWSP tak setuju. Keputusan awal itu tentu berpandukan pandangan dan keputusan yang dibuat oleh syor-syor KWSP dan juga Khazanah.

"Jadi saya rasa itu adalah keputusan buat masa ini, tapi tentu kita berpandukan apa yang diputuskan oleh perdana menteri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang laporan The Edge bahawa beliau menolak tawaran yang dibuat oleh Pengerusi Maju Holdings Abu Sahid Mohamed kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan pengambilalihan itu.

Lim Guan Eng

Lim bagaimanapun berkata beliau akan berjumpa dengan Maju Holdings memandangkan syarikat itu akan mengemukakan tawaran baru yang berbeza dengan yang asal.

Pada 2017, Maju Holdings membuat tawaran RM36 bilion untuk Plus. Tawaran itu ditolak pentadbiran terdahulu.

Tiada perincian berkenaan tawaran baru yang dibuat bulan lalu yang ditolak KWSP dan Khazanah.

UEM Group Bhd - milik penuh Khazanah - memegang 51 peratus saham dalam Plus, manakala KWSP baki 49 peratus.

Beliau juga memaklumkan pihak kementerian akan membuat laporan untuk Kabinet berkenaan sama ada Malaysia patut mengambil "Bon Panda" yang ditawarkan China.

Selepas itu, katanya lagi, orang awam akan dimaklumkan berkenaan perkara itu.

'Tunggu siasatan polis'

Sementara itu, berkenaan status Exco Perak Paul Yong Choo Kiong dalam DAP, Lim berkata beliau menunggu hasil laporan polis.

Yong dituduh merogol pembantu rumahnya dan telah hadir ke balai polis dua hari lalu untuk siasatan. Beliau menafikan dakwaan tersebut.

"Saya telah meminta DAP negeri Perak menguruskan perkara ini dan memberikan laporan kepada saya.

"Saya juga telah berbincang dengan menteri besar Perak. Di peringkat parti ataupun kepimpinan negeri, kita akan tunggu hasil siasatan daripada pihak polis," katanya yang juga setiausaha agung DAP.

Lihat Komen
ADS