Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendatang asing kahwin gadis Orang Asli: Jakoa akan tangani segera
Diterbitkan:  Jul 13, 2019 8:05 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata akan mengambil tindakan segera bagi memperkukuh institusi tok batin dan Majlis Pengurusan Kampung Orang Asli (MPKkoa) dalam memantau dan mengesan dengan lebih baik perkahwinan antara pendatang asing dan wanita Orang Asli.

Ini selepas laporan media menyebut warga asing mengahwini gadis Orang Asli untuk diperalatkan bagi mendapat bantuan kerajaan dan manfaat yang diperuntukkan kepada masyarakat Orang Asli.

"Jakoa memandang serius berkenaan perkahwinan sebegini dilakukan tanpa makluman kepada pihak Jakoa.

"Perkara ini akan memberikan kesan yang berpanjangan apabila anak daripada pasangan tersebut mempunyai masalah pendaftaran untuk masuk ke alam persekolahan dan menerima bantuan daripada Jakoa," kata Ketua Pengarah Jakoa Juli Edo (gambar tajuk, di atas) dalam suatu kenyataan hari ini.

Terdahulu laporan media mendakwa warga asing yang mengahwini gadis Orang Asli akan menggunakan hubungan tersebut untuk memohon lesen perniagaan menggunakan nama isteri mereka bagi tanah ladang yang dimiliki Orang Asli.

Laporan itu turut berkata selepas mendapat manfaat dan keuntungan daripada tali perkahwinan itu, warga asing terbabit didakwa mengabaikan isteri dan anak-anak mereka.

Tok Batin Orang Asli Kampung Pos Terisu, Cameron Highlands Jaafar Timor, 48, dipetik laporan media berkata di kampungnya sahaja terdapat lapan pasangan sedemikian setakat ini.

Bagaimanapun, MP Cameron Highlands Ramli Mohd Nor (gambar) membidas Jakoa kerana didakwa kurang bertindak menangani isu yang sudah lama ini bahawa ramai warga asing membuka ladang di tanah Orang Asli.

"Kebun warga asing ini semua ada dalam kawasan kampung Orang Asli.

"Simple lah ....macam mana pekebun (warga asing) boleh bercucuk tanam dalam kawasan Orang Asli dan Jakoa tak tahu?

"Bagi saya, senang saja, apa tindakan imigresen dan ketua pengarah Jakoa," katanya kepada Malaysiakini.

Menjelaskan lanjut, Ramli berkata telah membangkitkan hal ini di parlimen sebelum ini tetapi jawapan yang diterimanya cukup "mengecewakan."

Persekutuan menolak perkara tersebut kepada kerajaan negeri, katanya, tetapi Jakoa di bawah Jabatan Perdana Menteri jadi sepatutnya ia menjadi isu kerajaan pusat.

Menurut Ramli, Jakoa ada kuasa menghalau sesiapa yang menceroboh tanah Orang Asli jika didapati boleh mendatangkan bahaya terhadap kesejahteraan masyarakat itu, di bawah Seksyen 14 dan 15 Akta Orang Asli 1954.

"Jakoa ada kuasa halau berdasarkan Akta Orang Asli, kuasa Ketua Pengarah Jakoa boleh dakwa lagi.

"Mereka tahu undang-undang, sama ada Jakoa dan imigresen nak menguatkuasakan undang-undang atau tidak," kata Ramli.

Ramli berkata warga asing dengan permit kerja tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita tempatan, apatah lagi buat mereka yang tiada permit.

"...kebanyakan pendatang ini ada permit kerja (jadi) mana boleh kahwin," katanya lagi yang mempertikaikan Jakoa kerana gagal bertindak menangani hal ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS