Paling Popular
Terkini

Kerajaan Kelantan berpendapat Putrajaya wajar memperhalusi garis pengukur untuk menilai kadar kemiskinan di negeri itu agar bersesuaian dengan keadaan semasa.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, berkata Kota Bharu mempunyai pandangan berbeza mengenai asas penilaian kemiskinan apabila diukur melalui pendapatan.

Menurutnya, keadaan di Kelantan berlainan jika dibandingkan dengan nilai pendapatan di negeri lain khususnya negeri-negeri di Lembah Klang.

"Saya ada pandangan berbeza sebab asas penilaian (tahap kemiskinan) banyak bergantung kepada pendapatan bawah RM4,000.

"Di Kelantan ini berbeza, pendapatan biar pun kurang tapi dalam banyak hal (keadaannya) lebih baik berbanding Kuala Lumpur," katanya.

Menurut Mohd Amar, jika kadar pendapatan semata-mata dijadikan garis penentu kemiskinan, ia tidak akan tepat.

"Di Kelantan kalau (pendapat sebulan) RM4,000 misalnya ia sudah tinggi. Kalau RM2,000 pun besar. Jika itu diguna pakai sebagai petunjuk, maka ia tak tepat.

"Dulu masa kerja di Kuala Lumpur gaji saya RM2,000, jumlah itu kalau di Kelantan sudah besar," katanya.

Akui ada ketinggalan

Justeru Mohd Amar berkata kerajaan Pusat perlu memperhalusi kaedah yang digunakan

Mohd Amar ditemui media di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa.

Sivarasa dalam lawatan kerja ke Kelantan semalam dilaporkan berkata, kadar kemiskinan di Kelantan berada pada tahap serius dengan jumlah 12,157 isi rumah dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar.


Baca Tulis dan tular, masalah air selesai


Malah beliau memaklumkan, sebanyak tujuh daripada 28 daerah yang direkodkan sebagai daerah termiskin di negara ini terletak di Kelantan.

Sementara itu Mohd Amar berkata, walaupun pendapatan bulanan orang Kelantan kurang daripada RM4,000, keperluan mereka masih mencukupi dan keadaan itu tidak boleh dianggap sebagai miskin.

"Kalau pendapatan bawah RM4,000 tapi keperluannya cukup, boleh makan, hantar anak belajar universiti, takkan kita nak kata miskin?

"Kita tak boleh ambil secara umum. Di Kelantan RM2,000 dah macam RM4,000 di Kuala Lumpur. Kadang-kadang di Kelantan rumah tak perlu sewa, harga barang lebih murah," jelasnya yang juga anggota dewan undangan negeri Panchor.

Bagaimanapun beliau setuju pandangan pihak kementerian bahawa terdapat kawasan di negeri itu yang agak ketinggalan dalam aspek kemudahan prasarana.

"Ada tempat-tempat kita ketinggalan berbanding Kuala Lumpur dan Selangor. Itu memang kita akui seperti bekalan air bersih dan jalan raya, memang di Kelantan ada kawasan di luar liputan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd," katanya.

Lihat Komen
ADS