Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bayaran balik GST: Najib dakwa ikut akta
Diterbitkan:  Jul 15, 2019 3:54 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

LAPORAN PAC | Dalam keterangannya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak berkata beliau bertindak mengikut Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu berkata mereka gagal diberikan bukti mengenai perkara itu.

Dalam laporannya mengenai tunggakan bayaran balik GST yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, PAC memfokuskan kepada Seksyen 54 (5) akta itu.

Akta tersebut menyatakan bahawa hanya menteri kewangan mempunyai kuasa untuk memberi kuasa pembayaran ke Akaun Hasil Disatukan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

"PAC parlimen tidak diberikan apa-apa dokumen atau bukti bertulis berkenaan dengan pelaksanaan kuasa tersebut. Walau bagaimanapun, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar bersetuju dan menganggap bahawa menteri kewangan iaitu Datuk Seri Mohd Najib telah melaksanakan kuasanya di bawah Seksyen 54(5)," kata laporan itu.

Dalam keterangannya, Najib menjelaskan bahawa beliau bertindak atas nasihat akauntan negara dan mengikut Seksyen 54 (5) apabila memutuskan bahawa semua hasil GST akan disalurkan ke Akaun Hasil Disatukan.

Beliau berkata ini adalah untuk mengelakkan "masalah aliran tunai" untuk kerajaan.

"Kalau ada sesuatu yang mendesak dari segi keperluan perbelanjaan kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat, itu barangkali digunakan dana tersebut menyelesaikan soal projek-projek yang terpaksa dibiayai ataupun perkhidmatan-perkhdmatan kerajaan yang terpaksa dibiayai. Ini soal keutamaan sahajalah dalam pengurusan kewangan kerajaan.

"Ini adalah masalah aliran tunai kerana permintaan oleh perkhidmatan lain untuk kerajaan yang kita perlu selesaikan, dan juga perbelanjaan pembangunan," katanya.

Sementara itu, Irwan menyatakan Najib telah memberikan kuasa di bawah Seksyen 54 (5) supaya kesemua wang dimasukkan ke Akaun Hasil Disatukan.

"...walaupun tidak ada minit secara bertulis atau direkodkan dalam mana-mana mesyuarat," kata laporan itu.

Ketua Seksyen bahagian Cukai (Dasar dan Pelaksanaan GST) Kementerian Kewangan, Ezleezan Osman ketika prosiding PAC menyatakan tiada sebarang rekod berhubung penurunan kuasa tersebut, manakala Irwan memberitahu jawatankuasa itu bahawa dia "tidak pasti" jika ada rekod.

Najib bidas 'Tax holiday' (kelepasan cukai) PH

Laporan itu mendapati bahawa kerajaan terdahulu melanggar Seksyen 54 (2) akta GST untuk menyalurkan semua pendapatan GST ke Akaun Hasil Disatukan.

Wang itu kemudian dibelanjakan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan dan operasi.

Menurut Peguam Negara Tommy Thomas perkara itu bukan sahaja melanggar semangat percukaian tetapi juga Akta GST serta Seksyen 7 Akta Prosedur Kewangan 1957.

Najib juga memberitahu PAC bahawa sekiranya GST diteruskan, kerajaan mempunyai dana untuk pembayaran balik.

"Tetapi apabila kamu membatalkan GST dan kamu memberikan holiday tax (kelepasan cukai), itulah apabila masalah kamu bermula. Itulah sebab sebenar masalah itu, "katanya.

Ulasan mengenai "tax holiday" yang dinyatakan Najib tidak dijelaskan oleh PAC dalam laporan berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS