Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Berkongsi pengalaman ketika berada di Penjara Kajang, pendakwah Wan Ji Wan Hussin berkata selama tiga hari menjalani hukuman, dia tiada sebarang masalah dengan banduan lain yang sempat ditemuinya.

Malah, Wan Ji menyifatkan rata-rata banduan yang ditemuinya sebagai individu yang baik hati.

Salah seorang banduan yang ditemuinya adalah bekas Adun di negeri Selangor yang bermurah hati berkongsi makanan dengannya, sama ada makanan diberikan pihak penjara mahupun daripada isteri bekas wakil rakyat itu yang datang melawat.

“Isteri dia datang bawa buah limau lima biji, tiga biji dia bagi pada saya, dua biji dia ambil. Dapat roti pun dia bagi saya. Lepas tu makanan dalam dulang dua biji telur, dia ambil sebiji, sebiji lagi dia bagi,” katanya.

Mengulas mengenai makanan yang diberi pihak penjara kepada banduan, Wan Ji berkata dia memahami hakikat bahawa penjara bukanlah tempat untuk banduan makan makanan sedap.

“Makanan tu biasalah. Dia beri nasi, ikan goreng, adalah dalam tiga jari besarnya. Lepas tu kangkung dan kuah. Kuah pula sup tu tak ada rasa, lebih kurang (macam) air paip. Itu makanan dalam tu.

“Pagi pula diberi teh, nampak macam teh tapi tak tahu air apa sebenarnya. Ada (juga) bagi macam bubur juga tapi bubur tu nasi pun tak ada, nama bubur tapi minum macam air.

"Lepas tu ada biskut dan roti sikit. Air, air paip. Cuma saya rasa makanan dalam tu tak sihat,” katanya.

Suhakam perlu pantau keadaan penjara

Wan Ji menyarankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk campur tangan bagi memantau hak asasi banduan di penjara secara keseluruhan.

“Jadi, orang macam saya pun masuk dalam keadaan awalnya mereka tak tahu, saya boleh tengoklah situasi yang tak baik itu - soal kebersihan minum air paip, mengapa dia tak sediakan air masak?

“Sebelum ni, ada nampak beberapa tempat yang tak elok. Mungkin Suhakam tak tahu. Iyalah, bila orang (Suhakam) masuk tempat kita (penjara), kita tunjuk yang baik-baiklah. Tempat tak baik kita tak tunjukkan?” katanya.

Bagaimanapun, Wan Ji memuji pihak penjara yang menurutnya tidak terlepas pandang melakukan pemeriksaan kesihatan kepada banduan lain setiap hari Khamis, termasuk dirinya ketika hari kedua berada di sana.

Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan membuat kenyataan menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Wan Ji dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, iaitu kesalahan mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula sesuatu penerbitan menghasut.

Wan Ji mula menjalani hukuman pada hari yang sama, namun selepas tiga hari, iaitu pada 12 Julai lalu, mahkamah mengizinkan hukuman penjara setahun terhadap pendakwah itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Warden pukul muka selamba

Sementara itu, sewaktu menceritakan dakwaannya dipukul warden penjara, Wan Ji yang juga merupakan penyelidik Saudara - sebuah badan bukan kerajaan (NGO)  yang menggalakkan dialog antara agama - tidak menolak kemungkinan warden yang memukulnya itu sudah biasa melakukan perkara sedemikian.

“Saya tak yakin (yang dia sudah biasa). Tapi saya syak mungkin dah banyak kali dia buat begitu kerana orang ni kalau dia tak pernah buat (pukul), tiba-tiba dia buat, mungkin dia ada gelabah, mungkin dia ada ketar-ketar.

“Ni tak, dia memang macam selamba. Macam dah biasa. Jadi saya syak bukan saya saja yang kena, mungkin sebelum ni barangkali ramai yang dah kena,” katanya.

Tambah Wan Ji, dia merasakan Timbalan Penguasa Penjara Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Shahrul Mat Nasir yang ditemuinya semalam, seakan-akan dapat meneka warden itu apabila Wan Ji memberitahu penjara yang ditempatkannya itu.

“Dia rasa benda tu tak pelik berlaku. Sebab dia kata ‘Iyalah, dalam ramai-ramai orang mesti ada salah seorang yang tak ikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan’.

“Lepas tu dia (Shahrul) cakap dia akan cuba usahakan untuk cari orang tersebut. Dia kata kalau memaklumkan (tentang kejadian dipukul) itu bagus. Jangan diamkan sebab dia kata ini cara untuk kita (pihak penjara) membaiki sebarang kelemahan yang berlaku dalam penjara,” kata Wan Ji.

Mengimbas semula insiden itu, Wan Ji berkata ketika kejadian terdapat kira-kira enam orang warden yang lain berada di situ.

Jelas Wan Ji, warden yang memukulnya memakai sarung muka dan warden yang lain itu tidak menghalang perbuatan tersebut tetapi hanya mengatakan “muhasabah, muhasabah.”

Menurut Wan Ji, da juga ditanya oleh salah seorang warden di situ tentang identitinya apabila warden berkenaan mendapati sekumpulan individu bersolidariti untuknya di hadapan penjara.

“Ada warden ada yang bertanya ‘kau ni siapa sampai ramai yang bersolidariti kat luar?’ Lepas tu dia kata, ‘aku tengok ramai Cina. Kau ni geng-geng Melayu nak buang Melayu ke?” ujarnya.

Pada 14 Julai lalu, selepas hukuman penjaranya ditangguhkan, Wan Ji mendakwa dia dipukul oleh seorang warden penjara ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Wan Ji mendakwa warden berkenaan memintanya menanggalkan cermin mata sebelum menumbuknya sebanyak tiga kali selepas akur dengar arahan untuk memperkenalkan diri.

Atas nasihat rakan-rakan yang bimbang banduan lain dipukul, kata Wan Ji, dia akan membuat laporan polis melalui peguam dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Jumaat ini .

Bagaimanapun, Wan Ji berulang kali menegaskan agar warden itu tidak dibuang kerja dan sekadar diberi peringatan agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Wan Ji turut menceritakan kejadian yang menurutnya berlaku terhadap salah seorang banduan lain di situ yang dipukul kerana melakukan "kesilapan kecil".

“Sebenarnya dalam tu ramai 'mat pit', orang hisap dadah. Jadi ada satu kes yang saya nampak tu, seorang warden ni dia minta seorang banduan ambil baju. Tapi (banduan tu) tersilap ambil baju. Jadi dia (warden) tu pukullah banduan tu.

“Dia (warden kemudian) pergi pijak hamba Allah tu. Saya tengok pun rasa macam tak patut. Tapi tak tahu apa situasi sebenar dalam tu,” katanya.

Dari pengalaman sendiri dan kisah yang diceritakan banduan lain kepadanya, kata Wan Ji, dia mengambil keputusan untuk memperjuangkan isu berhubung keadaan dan layanan terhadap banduan di penjara.

Lihat Komen
ADS