Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada industri sawit mapan jika tanah adat terus dicabuli'

Menteri Industri Utama Teresa Kok perlu mengetahui perbezaan keadaan yang dihadapi pengusaha ladang kecil di Semenanjung dan Sarawak sebelum menyokong industri sawit, kata NGO Sahabat Alam Malaysian (SAM).

NGO itu berkata industri minyak sawit yang mapan tidak akan terlaksana jika Tanah Adat Peribumi (NCR) terus dicerobohi syarikat perladangan besar.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata pemilik ladang kecil di Semenanjung yang berada bawah Felda, disokong NGO dengan pemahaman bahawa tiada lagi peluasan ladang itu di Malaysia.

"Sekurang-kurangnya itulah yang diberitahu kepada kita. Di Sarawak, kita bercakap tentang konflik tanah peribumi diambil oleh syarikat perladangan besar, sama ada syarikat sawit, pulpa atau kertas," katanya dalam forum awam bersama aktivis masyarakat Iban di George Town, Pulau Pinang hari ini.

"NCR diiktiraf oleh mahkamah, tetapi tiada pelaksanaan di lapangan. Mereka (syarikat) secara konsisten tidak mahu mengakui bahawa hak tanah telah dicabuli.

"Dalam konteks ini, apabila kita bercakap tentang pensijilan, bagaimana ia boleh jadi mapan di saat hak peribumi dicabuli secara sistematik," katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan tidak akan dapat menjadikan industri minyak sawit mapan apabila NCR tidak diiktiraf.

Katanya, masalah bukan tentang pemilik ladang kecil di Sarawak, tetapi syarikat perladangan besar yang mencabuli hak pemilik ladang kecil itu.

"Menteri perlu faham perbezaannya dan memahami perjuangan hak tanah.

"Pesanan kami untuknya ialah lihat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), turun ke lapangan di Sarawak, dengar penduduk di sana dan tanya tanah siapa yang diambil dan siapa yang dicabuli," katanya.


BacaNGO lancar dokumen kesan perladangan monokultur pada hutan, tanah adat


Kerajaan kini dalam usaha melaksanakan skim pensijilan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), memberi sumbangan untuk pemuliharan hidupan liar Sabah dan program penanaman sejuta pokok hutan untuk membuktikan industri minyak sawit dan pemuliharaan alam sekitar dapat dilaksanakan bersama.

Selaku eksport ketiga terbesar negara, sawit memberi hasil berjumlah RM68.6 bilion pada 2018.

Dokumen 'Tanah Kami yang Hilang – Hak tanah adat dan perladangan monokultur di Sarawak' yang dilancarkan dalam program itu mendedahkan sejumlah 1.2 juta hektar tanah telah diperuntukkan untuk perladangan kelapa sawit.

Menurutnya, statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2017 menyatakan kira-kira 1.5 juta hektar tanah di Sarawak digunakan untuk industri itu.

Antara 2007 hingga 2017. tanah untuk perladangan kelapa sawit di Malaysia meningkat daripada 4.34 kepada 5.81 juta hektar, dengan Sarawak menjadi penyumban terbesar iaitu 0.94 juta hektar.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS