Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Pelanggan 'bubble tea' mempersoalkan mengapa seolah-olah minuman tersebut sahaja yang menjadi sasaran oleh Kementerian Kesihatan, memandangkan lebih banyak lagi minuman manis yang turut berada di pasaran.

Rata-rata pelanggan yang ditemui Malaysiakini berkata kekerapan mereka membeli minuman yang kian popular itu hanya dua hingga tiga kali sebulan.

Kebanyakan pelanggan juga berkata tidak menganggap diri mereka berada dalam kategori “penggemar bubble tea.”

Namun mereka mengakui faktor yang mendorong mereka membeli minuman yang turut dikenali sebagai “boba tea” itu kerana ia trend masa kini.

“Kemanisan bubble tea ini boleh adjust (sesuai selera). Saya selalu minta kurang manis.

“Kalau nak katakan air ini manis, air bergas lagi bahaya. Saya pun berjaga-jaga juga (minum) sebab ada baca dalam surat khabar pasal kesan sampingan minum bubble tea,” kata Reeza Alam yang berkata dia terdorong untuk membeli minuman tersebut kerana perasaan ingin mencuba.

Fatin Norsyuhda Johari, 25, yang merupakan seorang penggemar minuman manis mempertahankan minuman itu, di mana menurutnya sebagai seorang yang bekerja di bahagian kesihatan, dia tahu had pengambilan gula.

“Saya beli dua kali sebulan saja. Kalau saya beli pun satu menu saja, tak beli yang lain,” katanya yang sedang menunggu nombor giliran pesanan teh itu ketika ditanya wartawan.

Syarikat ‘bubble tea’ tak terkesan

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini di beberapa minuman 'bubble tea' di Petaling Jaya hari ini, kedai minuman tersebut tidak putus-putus menerima kunjungan daripada pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan muda dan perempuan.

Kelmarin, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menasihatkan ibu bapa mengelakkan anak-anak mereka mengambil minuman manis terutama minuman 'bubble tea' yang popular sekarang.

Menurutnya, meskipun kementerian itu tidak boleh menafikan hak pengguna tetapi ia akan terus memantau trend produk bergula tertentu, memandangkan paras gula dalam minuman teh gelembung adalah berlebihan dan di luar tahap pengambilan harian yang ideal.

Kenyataan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad itu dibuat di tengah-tengah kerajaan sedang berusaha menangani penggunaan gula berlebihan dalam makanan dan minuman di kalangan rakyat Malaysia, memandangkan penyakit kencing manis di negara ini di tahap yang membimbangkan.

Bagaimanapun, salah satu syarikat pengeluar 'bubble tea', Xing Fu Tang dalam responsnya kepada Malaysiakini berkata pihaknya turut menasihatkan pelanggannya untuk menikmati produk mereka secara bersederhana dan secara sihat.

Pengarah Urusannya Derek Cheong juga percaya bahawa apa-apa yang diambil dalam diet pemakanan harus diambil dalam kadar sederhana.

“Ia (kenyataan Dr Dzul) tidak begitu memberi impak terhadap bisnes kami, memandangkan pelanggan kami terdiri dari kumpulan umur dan bangsa yang pelbagai, dari 12 - 65 tahun.

“Dan saya pasti pelanggan kami cukup bijak untuk menilai dan mengambilnya dalam kadar yang sederhana dan berpuas hati,” katanya mengulas sama ada kenyataan Dr Dzulkefly semalam memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Bagaimanapun, bagi pelajar Nur’ain Syafiqah Abdullah, 21 (gambar, kiri) pula melihat saranan Dr Dzulkefly itu sebagai satu permulaan yang positif untuk mengawal minuman bergula lain di pasaran seperti minuman bergas.

“Sejujurnya memang betul pendapat saya memang tak sihat pun dan orang kata kalau air gas pun tak sihat juga. Bagi saya, benda ini (isu) takkan habis. 

"Bagi saya, (kawal pengambilan) bubble tea ini sebagai permulaan untuk mereka mengambil pengambilan makanan yang sihat. Air gas itu pun memang betul,” katanya.

Rakannya Farhana Yuhanis Mohd Yazid, 21, (gambar, atas, kanan) berpendapat minuman yang turut dikenali sebagai “boba tea” itu juga tidak mencapai jangkaannya.

“Saya minum sebab tengok review (ulasan) di Youtube. Best sangat ke? Jadi saya nak cuba. Tapi rasa dia macam tak mencapai expectation (jangkaan) saya. Mungkin cita rasa orang lain-lain.

“Mungkin sebab minuman itu trending, jadi mereka nak cuba juga,” katanya.

Menurut pakar pemakanan Rachel Tso dalam artikelnya What’s In My Bubble Tea?, perkara yang perlu dititikberatkan adalah kadar gula yang terdapat dalam secawan minuman tersebut, di mana satu saiz sederhana (500ml) milk tea with pearls mempunyai 8 sudu teh gula dan 335 kalori, manakala saiz besar (700ml) dengan 11 sudu teh gula dan 469 kalori.

Laporan The Star semalam pula menunjukkan kandungan gula yang lebih tinggi, iaitu daripada 7.5 sudu teh (avocado tea with pearls) sehingga 18.5 sudu teh (milk tea with pearls) bagi setiap 500ml.

Sebagai perbandingan, laporan itu menyatakan minuman bergas mengandungi 10.5 sudu teh gula bagi setiap 500ml.

Seorang pelanggan berusia 45 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Hairul mencadangkan supaya kerajaan melakukan satu kajian terhadap minuman berasal dari Taiwan itu, sekiranya dapat memberi kesan sampingan terhadap kesihatan.

“Sebab apa-apa hal pun, dia kena lihat kalau betul bahayakan kesihatan dan bawa kesan sampingan untuk pertahankan kenyataan itu,” katanya.

Tambahnya, dia tidak menghalang sekiranya anak-anaknya minta untuk membeli minuman tersebut jika ia hanya sekali-sekala.

Semalam, menteri kesihatan membuat penjelasan lanjut mengenai minuman manis, termasuk 'bubble tea', berkata pengilang dan pengeluar perlu mengamalkan pemantauan sendiri untuk memastikan produk mereka tidak melebihi tahap gula dibenarkan.

Dzulkefly berkata pengusaha minuman perlu memikul tanggungjawab bagi merumuskan semula bahan-bahan mereka ke arah lebih sihat selain mengelak dikenakan cukai gula yang telah dilaksanakan kerajaan sejak 1 Julai lalu.

Menurutnya, kajian kementerian mendapati satu daripada dua rakyat Malaysia yang mengalami obesiti adalah faktor utama bagi beberapa penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti hipertensi, penyakit kardiovaskular, dan kencing manis yang menyumbang peningkatan membimbangkan.

Pada 14 April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan membiayai RM2.716 bilion setahun bagi kos rawatan diabetes, jantung dan kanser yang juga tiga penyakit utama dihidapi rakyat negara ini.

Daripada jumlah itu, diabetes mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM2.04 bilion disusuli rawatan penyakit jantung koronari, RM544 juta dan kanser paru-paru iaitu RM132 juta, setahun. 

Lihat Komen
ADS