Malaysiakini
BERITA

Dr M jemput ahli parlimen GPS untuk perjumpaan 'rahsia', kata Abang Jo

Diterbitkan

Bercanggah dengan kenyataan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg berkata perjumpaan pada 30 Julai lalu di Putrajaya adalah selepas mendapat jemputan perdana menteri.

"Apa yang terjadi adalah, ada jemputan daripada perdana menteri (kepada GPS) dan (kepada) parti lain.

"Mereka cuma mahu berbual, itu saja. Tak lebih daripada itu," katanya kepada Malay Mail.

Pada sidang media pagi tadi, Dr Mahathir mengesahkan berjumpa dengan pemimpin pembangkang namun memberi gambaran bahawa mereka yang ingin berjumpa dengannya.

"Mereka datang jumpa saya, jadi saya jumpa mereka. Saya dengar apa yang mereka nak kata. Ramai antara mereka menyatakan sokongan kepada saya. Terima kasih banyak," kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Abang Johari berkata ahli parlimen GPS yang terlibat dalam perjumpaan itu tidak mewakili GPS secara rasmi dan sekadar hadir untuk "mendengar".

Abang Johari juga menambah bahawa ahli parlimen GPS yang hadir pada perjumpaan itu tidak semestinya menyokong pendirian Umno dan PAS yang mahu Dr Mahathir kekal sehingga habis penggal.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata dia tidak tahu apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

Laporan The Star yang memetik sumber menyatakan pemimpin pembangkang berjumpa Dr Mahathir pada Selasa lalu untuk menyatakan sokongan agar perdana menteri itu berkhidmat sehingga habis penggal.

Menurut laporan itu, antara yang hadir ialah bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Laporan itu juga mendakwa Dr Mahathir turut meminta seorang menteri kanan PH menghadiri perjumpaan itu namun nama menteri yang dimaksudkan tidak didedahkan.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hadir dalam mesyuarat itu, Dr Mahathir secara sarkastik sekadar berkata: "Perjumpaan ini rahsia, saya tak boleh beritahu".

Dr Mahathir pada sidang media pagi tadi juga menegaskan sekali lagi akan memegang janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Kecuali mereka tolak saya ke satu sudut dan acu pistol ke kepala saya supaya saya kekal sampai habis penggal, jadi saya akan teruskan.

"(Tetapi) saya akan tunaikan janji saya," katanya.

Spekulasi sebelum ini mengatakan bahawa Dr Mahathir cenderung memilih Azmin sebagai penggantinya meskipun terdapat perjanjian dalam PH agar Anwar menjadi perdana menteri seterusnya.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan