Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Khat Jawi di sekolah vernakular bukan proses Islamisasi - Maszlee

WAWANCARA | Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata langkah kementerian itu memperkenal tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 bukan bertujuan mewujudkan proses Islamisasi di sekolah vernakular.

Beliau berkata sesetengah pihak tidak sepatutnya melihat pengenalan Jawi sebagai proses asimilasi budaya.

“Jika kita (rakyat) melihatnya sebagai pengenalan khat sahaja, ia akan mengundang kemarahan sesetengah kumpulan masyarakat.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak yang membantah tetapi bagi mereka (pihak yang membantah) semua yang dilakukan oleh kerajaan pasti ada ‘udang di sebalik batu’” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya Kuala Lumpur, semalam.

Kementerian pendidikan dalam satu kenyataan Khamis lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah. 

Keputusan tersebut membabitkan pelaksanaan seni khat dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Selain itu, Maszlee turut berkata pengenalan tulisan khat adalah usaha untuk pelajar sekolah mengenali warisan dan identiti negara.

“Kita kalau perkenalkan tulisan Jawi, kita harus pastikan ia dekat dengan diri pelajar dan bukan suatu perkara asing. Contoh kalau kita lihat wang Ringgit, tertera tulisan Jawi bermaksud Malaysia di tepi helaian wang tersebut.

“Jika di dalam wang Ringgit, jata negara juga ada perkataan Jawi tertulis. Apa salahnya pelajar membaca dan menulis perkataan itu,” katanya.

Bukan belajar Jawi secara menyeluruh

Kata Maszlee, tulisan Jawi juga jika dipelajari akan meningkatkan semangat patriotisme di kalangan pelajar sekolah.

“Saya tidak meminta mereka untuk belajar sehingga menyeluruh tentang penulisan Jawi dan ia juga tidak akan dimasukkan dalam mana-mana peperiksaan.

“Ia dilakukan bagi pelajar untuk kenal warisan negara kita, jika pelajar ingin menguasai tulisan Jawi, ia adalah kelebihan sendiri,” katanya.

Terdahulu, langkah itu mencetuskan bantahan daripada sejumlah ahli politik dan badan pendidikan Cina dan Tamil, antaranya dikatakan menambah beban kerja bagi murid sekolah vernakular.

Sejumlah 11 Adun, 14 pemimpin akar umbi dan pemuda DAP serta 138 cawangan dan jawatankuasa parti di peringkat parlimen membantah langkah itu kerana menurut mereka ia akan menginstitusikan dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Timbalan menteri akan bincang

Menjawab bantahan daripada DAP, Maszlee menjelaskan timbalannya Teo Nie Ching akan berbincang bersama pihak tersebut.

“Isu ini timbul kerana tiada penilaian yang khusus, jika mereka dapat lihat tulisan Jawi wujud dalam identiti negara, mereka tidak akan membantah.

“Saya tidak boleh bayangkan jika ada pihak yang ingin wang Ringgit atau Jata Negara kita diubah pula mungkin ditulis dalam bahasa lain,” katanya.

Maszlee berkata, pengenalan kepada tulisan Jawi juga bukan usul baru malah ia sudah diperkenalkan sejak tahun 2014 oleh kerajaan terdahulu.

“Namun usaha ini tidak dilaksanakan kerana pendekatan yang mereka lakukan tidak secara menyeluruh.

“Mereka (kementerian pendidikan terdahulu) tidak mengambil kira pakar pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak ibu bapa,” katanya.

Siapa kenal Rencong, Palava?

Mengenai persoalan mengapa hanya tulisan khat itu sahaja diajarkan sedangkan bahasa Melayu Kuno turut menggunakan pelbagai sistem tulisan seperti Rencong, Pallava dan Kawi, Maszlee berkata ini kerana Jawi lebih dekat dengan rakyat Malaysia dari sudut sejarah.

“Siapa yang mengenali penulisan terawal sebelum sejarah di Malaysia. Saya rasa kalau dipraktikkan juga ramai masyarakat akan membantah kerana tidak mengenali tulisan tersebut.

“Sekurangnya penulisan Jawi ini tidak asing, ia terdapat di Jata Negara dan di wang ringgit Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, kementerian pendidikan kini meneliti penilaian Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Melayu Darjah 4 sejak tahun 2014. 

KSSR adalah satu polisi bagi merangka silibus bagi setiap buku teks di sekolah. 

Sementara itu, Maszlee berkata beliau kini melibatkan diri bersama beberapa pihak bagi mendapatkan pandangan berkaitan isu itu.

“Saya ada bercakap dengan kumpulan persatuan Cina dan mereka boleh menerima pandangan saya terhadap tulisan ini.

“Kini saya menerapkan pandangan orang ramai dan ia juga akan beri peluang untuk kami di kementerian untuk lebih memahami dan mendekati apa yang diinginkan,” katanya.

Maszlee menjelaskan pertemuan tersebut diadakan baru-baru ini bersama timbalan presiden Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Tan Yew Sing, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Tang Ah Chai dan penganalisis politik Wong Chin Huat. 

Sementara itu, Maszlee turut menyeru anggota masyarakat agar mengukuhkan persefahaman antara kaum dan saling mempercayai antara satu sama lain.

Lihat Komen
ADS