Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengenalan tulisan khat dalam subjek BM akan diteruskan
Diterbitkan:  Aug 2, 2019 8:33 PM
Dikemaskini: 2:51 PM

Kementerian Pendidikan akan menerusikan rancangan untuk memperkenal tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 pada tahun depan seperti dirancang.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata khat merupakan sebahagian daripada identiti negara dan warisan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan perpaduan.

"Pada masa sama, tulisan ini juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia.

"Sehubungan itu Kementerian Pendidikan akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan, dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru," kata kementerian itu.


KINIGUIDEMenjawab persoalan tulisan khat dalam subjek BM di SJK


Kata kementerian itu lagi, pengenalan tulisan khat telah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014 dan menerusi pelbagai sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan.

Sebanyak enam daripada 164 muka surat buku teks baru untuk Bahasa Melayu Darjah 4 tahun depan diperuntukkan untuk pelajaran itu.

Terdahulu, langkah itu mencetuskan bantahan daripada sejumlah ahli politik dan badan pendidikan Cina dan Tamil, antaranya menambah beban kerja bagi murid sekolah vernakular.

Sejumlah 11 Adun, 14 pemimpin akar umbi dan pemuda DAP serta 138 cawangan dan jawatankuasa parti di peringkat parlimen membantah langkah itu kerana menurut mereka ia akan menginstitusikan dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Menjadikan penggunaan wajib tulisan itu pada papan tanda di Kelantan dan Terengganu sebagai contoh, mereka berkata langkah sama sedang dibuat di Pahang dan Melaka.

"Mereka yang mempunyai agenda mungkin merebut peluang untuk memperkenalkan Jawi di semua peringkat. Jika Jawi diinstitusikan, ia akan merosakkan fabrik sosial di Malaysia," kata mereka.

Lihat Komen
ADS