Pencemaran najis babi: Penduduk Kuala Sungai Baru mungkin terpaksa pindah
Penduduk sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka yang kini menghadapi pencemaran najis babi mungkin terpaksa "lari" ke tempat yang lebih selesa jika kerajaan tidak menutup perusahaan ternakan babi di kawasan itu.
Penduduk sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka yang kini menghadapi pencemaran najis babi mungkin terpaksa "lari" ke tempat yang lebih selesa jika kerajaan tidak menutup perusahaan ternakan babi di kawasan itu.
Antara kampung yang paling terjejas akibat bau dan air sungai yang tercemar ialah Kampung Teluk Gong, Kampung Paya Mengkuang dan Kampung Baru.
Ketua Kampung Teluk Gong, Zainal Yusop berkata, satu kawasan yang telah diratakan untuk dijadikan tapak profek perumahan, telah menjadi tempat babi berkubang kerana kampung ini terletak berhampiran kawasan ternakan babi di Paya Mengkuang.
"Walaupun kawasan ternakan babi Kampung Paya Mengkuang berpagar tetapi kadangkala babi didapati menyusup keluar dan berkeliaran di kawasan kampung ini.
"Penduduk kerap terserempak dengan babi yang merayau dalam kampung dan ini membimbangkan penduduk kerana mengancam keselamatan kanak-kanak dan orang tua," katanya.
Kampung Teluk Gong mempunyai kira-kira 1,500 penduduk dan keseluruhannya orang Melayu yang melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk menjadi nelayan.
'Berpindah jalan terakhir'
Katanya, penduduk telah mengadakan perbincangan sesama mereka untuk mencari jalan mengatasi masalah babi yang kerap merayau di dalam kampung.
"Bagaimanapun, penduduk menyatakan berpindah merupakan jalan terakhir kerana mereka sudah mempunyai rumah di kampung itu," katanya lagi.
Menurutnya, Kampung Teluk Gong paling tercemar kerana air buangan dari ladang ternakan babi di Paya Mengkuang mengalir melalui sebatang sungai yang terletak di kampung itu.
Katanya, keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan lebat kerana air sungai menjadi hitam serta tidak boleh digunakan untuk minuman atau mandi-manda.
Ketua Kampung Baru di Kuala Sungai Baru, Jali Durum pula berkata, sebahagian penduduk kampung yang berjumlah kira-kira 1,000 orang mahu berpindah tetapi tidak ada tempat yang sesuai.
Wabak JE
Katanya, sebahagian besar penduduk sudah tidak tahan dengan pencemaran dari ladang ternakan babi di Paya Mengkuang.
"Masalah sekarang ialah ke mana mahu berpindah kerana kawasan Kuala Sungai Baru sudah padat dengan penduduk," katanya.
Jali mendakwa ketika wabak JE melanda kawasan ternakan babi di Negeri Sembilan beberapa tahun lalu, Kerajaan Melaka mengarahkan pusat ternakan babi Paya Mengkuang ditutup.
Bagaimanapun, beliau hairan mengapa selepas wabak itu reda, kerajaan negeri membenarkan semula pembiakan ternakan itu di kawasan Paya Mengkuang.
Beliau berkata, langkah yang paling berkesan untuk mengatasi masalah tersebut ialah memindahkan ladang tersebut ke kawasan yang tidak ada penduduk.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.