Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri DAP, PKR bangkitkan pada kabinet agar Zakir diusir
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 2:43 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Dua menteri DAP berkata mereka telah membangkitkan isu kehadiran pendakwah Zakir Naik di Malaysia dan kontroversi mengenainya semasa mesyuarat kabinet hari ini.

"Kami telah menyatakan pendirian kami yang mana tindakan perlu diambil dan Zakir Naik tidak lagi dibenarkan untuk menetap di Malaysia.

"Perdana menteri telah mengambil kira kebimbangan kami. Kami serahkan kepada beliau untuk mempertimbangkan pendirian dan membuat keputusan secepat mungkin apa yang akan dilakukan untuk menangani masalah itu," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kedua-dua menteri itu antara lain membangkitkan kenyataan yang dibuat Zakir semasa ceramah di Kota Bharu minggu lepas.

Sementara itu, kedua-dua mereka berkata Zakir tidak sepatutnya dibenarkan terlibat dalam sebarang acara.

"Kami juga menegaskan kebimbangan yang dibangkitkan dalam banyak ucapan dan kenyataan beliau yang menimbulkan kemarahan.

"Oleh itu, kami menyatakan bantahan kami kepada Zakir Naik sementara beliau tidak lagi boleh mengadakan sebarang aktiviti lagi di Malaysia atau membuat kenyataan lanjut yang memberi kesan kepada hubungan kaum dan ketenteraman awam," kata mereka.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar turut membangkitkan isu sama dan menegaskan Zakir tidak boleh dibenarkan membuat kenyataan berunsur hasutan.

"Negara ini sentiasa mengekalkan keamanan dan nilai-nilai melalui toleransi dan kesejahteraan dalam kalangan pelbagai kaum dan agama. Kita adalah negara berbilang bangsa.

"Kita tidak memerlukan individu-individu tersebut untuk mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan niat untuk menimbulkan permusuhan antara orang Islam dan bukan Islam di Malaysia," katanya.

Zakir minggu lepas menghadiri satu siri acara di Kelantan sebagai sebahagian daripada siri jelajah oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.

Dalam salah satu acara, Zakir berkata masyarakat beragama Hindu di Malaysia kini lebih menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Zakir kemudian menjelaskan kenyataan itu diambil di luar konteks.

Beliau berkata terdapat kumpulan penganut Hindu di negara ini memilih untuk menyokong perdana menteri India berbanding Dr Mahathir dalam isu permohonan New Delhi untuk mengekstradisinya.

Pada majlis yang sama, Zakir juga meminta kaum Cina yang digelarnya sebagai "tetamu lama" keluar daripada Malaysia terlebih dahulu sebelum meminta beliau berbuat demikian.

Zakir, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di India atas tuduhan pengubahan wang haram memiliki status penduduk tetap di negara ini.

Mahathir sebelum ini menolak cadangan untuk mengusir Zakir ke India dengan menyatakan kebimbangan pendakwah itu tidak akan menerima perbicaraan yang adil.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata beliau bersikap terbuka untuk menghantar Zakir ke negara yang sanggup menerima pendakwah berkenaan.

Lihat Komen
ADS