Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NUTP harap tiada lagi dasar pendidikan tidak konsisten

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Aminuddin Awang berharap Kementerian Pendidikan tidak lagi mengulangi kesilapan lalu dengan dasar pendidikan yang tidak konsisten yang akhirnya memberi kesan kepada guru.

Beliau berkata guru sukar mendapat penghayatan dalam proses pengajaran ekoran perubahan dasar, selain kos yang tinggi untuk menghantar mereka menjalani kursus tertentu.

Lebih malang, katanya lagi, perubahan dasar itu adalah disebabkan politik dan boleh dikatakan berlaku setiap kali apabila menteri pendidikan bertukar.

"Sudah tiba masanya kerajaan buat sesuatu agar politik tidak lagi menggangu sistem pendidikan kita.

"Biarlah sistem pendidikan itu bergerak seiring dengan perkembangan semasa," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Aminuddin Awang

Antara dasar yang paling mendapat perhatian dan dibahaskan ialah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dicetuskan Dr Mahathir Mohamad pada 2003.

Bagaimanapun ia dimansuhkan pada 2009 dan kemudian digantikan dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ketika itu Muhyiddin Yassin memegang portfolio pendidikan.

Pada 2015, di bawah dasar MBMMBI, kerajaan memperkenalkan program dwibahasa (DLP) di sejumlah sekolah, dengan tujuan menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melalui pendedahan tambahan secara tidak langsung.

Menerusi program itu, sekolah terlibat dibenarkan memilih sama ada untuk mengadakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Justeru sesetengah pihak melihatnya sebagai usaha mengembalikan PPSMI melalui pintu belakang.

Terkini, pengenalan tulisan Jawi bagi sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 - yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Melayu SJK Darjah 4 ketika pentadbiran lalu menjadi polemik - menjadi polemik.

Ia mendapat tentangan hebat daripada beberapa pimimpin dan badan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong meskipun KPM telah menjadikannya sebagai pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Baiki kelemahan sedia ada 

Memahami bahawa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hanya meneruskan dasar sedia ada daripada menteri sebelumnya dalam soal tulisan Jawi, Aminuddin yang sudah berkecimpuang dalam dunia pendidikan selama 30 tahun berpandangan tumpuan yang harus diberikan tetaplah memperbaiki sistem pembelajaran sedia ada.

Beliau memberi contoh peningkatan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sebagai aspek yang perlu diberi tumpuan.

“Apabila pelajar keluar daripada sistem pendidikan, selepas 11 tahun di sekolah, ramai yang tak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.

“Walaupun bijak dalam ilmu lain, kekurangan dalam soal bercakap dalam bahasa Inggeris tentunya menyukarkan mereka untuk bersaing," katanya yang mencadangkan sukatan pelajaran yang khusus untuk kemahiran itu.

Bagaimanapun beliau menolak kaedah seperti PPSMI yang menurutnya bukan ubat terbaik dalam meningkatkan kemahiran komunikasi dalam bahasa itu.

Lihat Komen
ADS