Paling Popular
Terkini

Sekumpulan NGO anti-Lynas bercadang mengambil tindakan undang-undang bagi menghentikan pengeluaran lesen operasi selama enam bulan kepada kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Peguam kumpulan tersebut, Hon Kai Ping berkata, anak guamnya mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan kerajaan tersebut.

"Kami akan memfailkan injunksi mahkamah bagi mendapatkan lebih banyak dokumen dan juga menghentikan pengeluaran (lesen) kepada Lynas," katanya.

"Ia boleh jadi semakan kehakiman, tetapi peguam-peguam masih belum jumpa (untuk bincang)," katanya ketika menghadiri perhimpunan anti-Lynas di Taman Gelora, Kuantan hari ini.

Hon berharap tindakan undang-undang akan diambil dalam masa sebulan.

Sementara itu, aktivis alam sekitar Tan Bun Teen dari Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) yang mengetuai perhimpunan hari ini, berkata SMSL merupakan antara NGO yang akan mengambil tindakan berkenaan.

"Kami akan pertimbangkan kemungkinan untuk memulakan semakan kehakiman mengenai keputusan baru-baru ini oleh kerajaan," katanya.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada hari Khamis lalu mengumumkan bahawa kerajaan telah melanjutkan lesen operasi kilang nadir bumi yang dimiliki oleh pelombong Australia Lynas Corp, selama enam bulan.

Lesen operasi itu - yang dijadual tamat bulan depan - dilanjutkan berdasarkan keputusan mesyuarat kabinet.

Bagaimanapun, dengan pembaharuan lesennya, Lynas mesti mematuhi beberapa syarat yang dikenakan ke atasnya.

Antara syarat-syaratnya adalah Lynas perlu mengemukakan rancangan pembinaan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif, dipanggil 'cracking and leaching', di luar negara agar proses itu - yang kini dilakukan di Gebeng - dapat dikeluarkan dari Malaysia.

Selain itu, LPTA berkata Lynas juga perlu menamatkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usahanya untuk mengkomersialkan residu Water Leach Purification (WLP) kepada baja pertanian, Condisoil.

Lihat Komen
ADS