Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan lanjut lesen Lynas, tetap tempoh untuk kekang sisa radioaktif
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 6:04 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Kerajaan telah memperbaharui lesen operasi kilang nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd di Gebeng selama enam bulan, dengan beberapa syarat agar kilang itu mengekang pengeluaran sisa radioaktif dalam masa empat tahun.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) dalam kenyataan berkata, lesen operasi itu - yang dijadual tamat bulan depan - dilanjutkan berdasarkan keputusan mesyuarat kabinet.

Menurut LPTA, antara syarat yang ditetapkan ialah Lynas perlu mengemukakan rancangan pembinaan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif, dipanggil 'cracking and leaching', di luar negara agar proses itu - yang kini dilakukan di Gebeng - dapat dikeluarkan dari Malaysia.

"Kemudahan 'cracking and leaching' di luar negara hendaklah dibina dan mula beroperasi dalam tempoh empat tahun dari tarikh sah lesen.

"Selepas kemudahan 'cracking and leaching' mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenarkan menghasilkan residu radioaktif yang melebihi 1 Becquerel per gram di lojinya di Gebeng, Kuantan" kata LPTA hari ini.

Jun lalu, Lynas berkata syarikat itu akan mematuhi gesaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memindahkan operasi memproses sisa radioaktif ke Australia.

Selain itu, LPTA berkata Lynas juga perlu menamatkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usahanya untuk mengkomersialkan residu Water Leach Purification (WLP) kepada baja pertanian, Condisoil.

"0.5 peratus daripada jualan kasar setiap tahun yang ditetapkan untuk usaha R&D sebelum ini hendaklah dikemukakan kepada kerajaan Malaysia sebagai cagaran tambahan sehinggalah kemudahan 'cracking dan leaching' di luar negara mula beroperasi," kata LPTA lagi.

Bagaimanapun, sisa sedia ada serta yang akan dikeluarkan sebelum proses 'cracking and leaching' dipindah ke luar negara kekal sebagai masalah.

Justeru, LPTA menetapkan agar Lynas mengenal pasti tapak spesifik untuk kemudahan pelupusan kekal (PDF) dan mengemukakan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri untuk penggunaan tapak itu, jika tidak mendapat persetujuan mana-mana negara lain yang mahu menerima residu Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan.

" Lynas juga hendaklah mengemukakan pelan perancangan pembinaan PDF yang lengkap serta pelan pembiayaan yang mencukupi bagi menampung keseluruhan pembinaan dan operasinya.

"Pembinaan PDF perlu disegerakan untuk meminimakan risiko timbunan residu radioaktif WLP yang kini terkumpul melebihi 580,000 tan di kemudahan penstoran sementara (residue storage facility, RSF) yang terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar," kata LPTA.

Menurut LPTA, syarat itu diputuskan setelah kerajaan Australia dan kerajaan negeri Western Australia tidak akan menerima residu WLP Lynas, serta berdasarkan syor oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advanced Materials Plant dalam laporannya pada November 2018.

"LPTA akan memantau rapi serta memastikan pembinaan dan pengendalian PDF mengikut piawaian antarabangsa," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS