Malaysiakini
BERITA

Mufti Pahang saran solat hajat PAS bukan untuk Zakir Naik saja

Yasmin Ramlan

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Ogs 2019, 2:43 tengahari

Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman menyarankan PAS bukan setakat menyeru umat Islam menunaikan solat hajat untuk pendakwah Dr Zakir Naik, tetapi juga mendoakan keselamatan negara.

Meskipun percaya seruan solat hajat itu bertujuan ke arah kebaikan, namun Abdul Rahman melihat keselamatan negara sedang dalam keadaan huru-hara.

“Kita cadangkan kalau mereka (PAS) nak buat solat hajat, supaya bukan solat hajat untuk selamatkan Zakir Naik sahaja tapi solat hajat untuk selamatkan negara ini.

“Saya rasa solat hajat itu maksudnya bukan saja (untuk) Zakir Naik tapi untuk menyelamatkan negara daripada huru-hara. Biasanya orang solat hajat untuk kebaikan, bukan untuk satu-satu berkenaan (satu isu sahaja),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 20 Ogos lalu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyeru supaya solat hajat dilakukan di seluruh negara "untuk bersama-sama menyokong usaha Dakwah Dr Zakir Naik."

"...serta mempertahankannya dari perancangan jahat pihak-pihak tertentu untuk menyekat usaha dakwah beliau.

"(Untuk) bersama-sama menunaikan solat hajat dan bermunajat untuk mendapatkan pertolongan Allah SWT dalam memastikan usaha-usaha jahat untuk menyekat perkembangan dakwah Islam digagalkan oleh Allah SWT," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 20 Ogos berkata Zakir tidak dibenarkan memberi ceramah melalui semua medium, termasuk media sosial.

Beliau berkata larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis terhadap ucapan pendakwah itu di Kelantan yang menimbulkan kontroversi.

Zakir disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Zakir membuat kenyataan kontroversi itu pada suatu majlis di Kelantan pada 3 Ogos lalu ketika bercakap mengenai penyebaran Islam yang aman di kepulauan Melayu.

Ketika mengulas pertuduhannya di India, Zakir telah berkata rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong kerajaan India berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga telah membuat beberapa kenyataan mengenai orang Cina Malaysia memanggilnya sebagai "tetamu lama."

Hal itu mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Untuk rekod, Zakir menafikan semua tuduhan terhadapnya dan mendakwa kenyataannya mengenai orang Cina dan India rakyat Malaysia telah dipetik di luar konteks ucapannya.

Mengulas lanjut mengenai situasi negara kini, Abdul Rahman menggambarkan bahang perkauman semakin hangat, terutamanya selepas tercetusnya isu seperti pengenalan pelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular Cina dan Tamil dipertikaikan.

“Sekarang ini kita nampak bahang pergaduhan antara kaum mungkin boleh terjadi sebab perkara-perkara seperti orang Islam dan orang Melayu,” katanya.

Warna, bau, bunyi bertukar lepas terjemah

Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Profesor Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin pula menyifatkan pendakwah dari India itu terperangkap dalam perbalahan politik dan ideologi antara parti politik di negara ini.

“Zakir Naik terperangkap dalam perbalahan politik serta ideologi antara DAP dan PAS. Satu (parti) nampaknya anti-Melayu dan anti-Islam, dan yang satu lagi mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu tulisan Jawi, yang juga menjadi perbalahan antara kedua-dua parti itu.

Bagaimanapun, katanya pertikaman lidah itu hanya hangat di media massa dan media sosial tetapi tidak berlarutan sehingga mencetuskan pergaduhan dan konflik.

“Soal Zakir disuruh pulang atau tidak terletak seratus peratus di tangan kerajaan. Bukan semua setuju dia diusir. Kerajaan perlu mencari keseimbangan dalam membuat keputusan,” katanya.

Menurut Shamsul lagi kenyataan Zakir yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum di Malaysia diambil luar konteks dan telah diuar-uarkan di media sosial.

“Sebahagian besar tidak mendengar dengan teliti kata-kata sebenar yang diucapkan oleh Zakir Naik - maksud sebenar sudah hilang (lost in translation). 

"Bila hal ini masuk ke ruang politik, (ia) bertukar bunyi, warna dan bau,” katanya. 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan